
SEREMBAN: Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai garis panduan tadbir urus yang menetapkan seseorang menteri tidak boleh membuat sebarang keputusan secara bersendirian.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebarang urusan termasuk meluluskan permohonan, menjual, membeli atau menyewa aset hanya boleh dilakukan selepas menerima syor daripada TH.
“Tabung Haji telah menetapkan satu garis panduan good governance di mana menteri tidak boleh meluluskan sebarang permohonan atau permintaan, tidak boleh menjual harta, membeli harta, menyewa dan sebagainya melainkan mendapat syor daripada Lembaga Tabung Haji.
“Lembaga Tabung Haji pula tidak boleh membuat cadangan tertentu melainkan selepas diteliti oleh pihak pengurusan risiko, satu kumpulan yang menyemak semula, selain kumpulan pelaburan, sebelum kertas-kertas berkenaan diberikan perhatian,” katanya ketika ditemui selepas Program Pelancaran Ikrar Wanita Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri, hari ini.
Jamil Khir berkata, sepanjang pentadbirannya, setiap keputusan dibuat mengikut proses yang ditetapkan serta melibatkan ahli-ahli lembaga yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud memorandum yang membuktikan beliau pernah melangkaui syor ditetapkan TH.
“Tolong semak semula memorandum mana yang dibawa kepada saya yang menunjukkan saya melangkaui cadangan yang dikemukakan oleh Lembaga?
“Kalau saya ditanyakan tentang soal kuasa menteri dan sebagainya, kuasa menteri adalah berdasarkan syor daripada Lembaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersedia disiasat sekiranya terdapat keperluan berhubung pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Katanya, perkara itu wajar diserahkan kepada pihak berkuasa mengikut proses yang ditetapkan dan beliau tidak mempunyai sebab untuk mengelak daripada disiasat.
“Kalau nak disiasat, siasatlah. Kalau dah dalam aturan memang kena. Kalau nak siasat tak apalah, takkan pula kita nak lari. Saya rakyat Malaysia, takkan nak kena pergi luar negara?” katanya.
Tambah beliau, audit yang sah bagi TH ialah audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) selaras dengan kedudukannya sebagai badan berkanun di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Perkara ini yang saya nak sangat tekankan supaya kita semua jelas. Bila Jabatan Audit Negara (JAN) menjadi tanggungjawab, JAN inilah auditor yang sah dan sahih.
“Tak kira ada yang bercakap soal PricewaterhouseCoopers (PwC), audit antarabangsa. Bahkan Tabung Haji pun ada audit yang kita namakan (laksanakan) dengan Ernst & Young (EY).
“Jadi ini audit antarabangsa yang hanya memenuhi keperluan peringkat antarabangsa, khususnya jika kita mempunyai hartanah di luar negara.
“Audit antarabangsa juga kita perlukan, tetapi audit sahih ini perlu difahami datang daripada JAN,” katanya.
Jamil Khir berkata, sepanjang tempoh beliau menerajui institusi itu dari 2009 hingga 2017, TH menerima laporan audit bersih daripada JAN. – UTUSAN
The post RCI Tabung Haji: Kuasa menteri tertakluk kepada syor TH appeared first on Utusan Malaysia.






