
KUALA LUMPUR - Tindakan pembangkang yang keluar Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai drama politik yang tidak matang dan kebudak-budakan.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan pembangkang itu mudah sahaja untuk difahami apabila alasan yang diberikan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri perlu hadir bagi membentangkan laporan dan menjawab segala persoalan.
Sedangkan, katanya, terdapat dua Timbalan Perdana Menteri dan ahli Kabinet lain yang turut terlibat dalam urusan kerajaan.
“Apakah tanpa kehadiran PM yang menjalani rawatan perlu atau wajib hadir atau Sidang Dewan wajar ditangguhkan?
“Bukankan kerajaan ditadbir oleh Kabinet dan ada dua Timbalan Perdana Menteri serta berpuluh ahli Kabinet?
“Bukankah urusan kerajaan adalah tanggungjawab kolektif anggota Kabinet? Perbahasan direkod dan boleh dirujuk. PM boleh mengikuti perbahasan melalui online atau siaran TV,’’ soalnya.

Terdahulu, Ahli-ahli Parlimen pembangkang membuat kejutan apabila bertindak keluar dewan (walkout) dan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, pagi ini.
Tindakan drastik itu diambil selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan sebelum itu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13 bagi memohon supaya sidang khas itu ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah mengesahkan Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Berikutan itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke sidang khas tersebut dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Mengulas lanjut, Ibrahim mendakwa tindakan pembangkang itu adalah bagi membuktikan betapa besar pengorbanan membela Umno kerana RCI TH melibatkan pemimpin-pemimpin Umno.
“Justeru itu, Umno akan terkenang budinya kepada PAS dan sekutu sejiwanya, maklumlah yang terlibat dalam penyelewengan pendedahan RCI TH adalah pemimpin-pemimpin dari Umno.
“Mereka bersedia bersama demi cinta yang dirujuk semula walaupun janda ini dah lakukan macam-macam hal,’’ katanya.
Justeru Ibrahim meminta pembangkang supaya berhenti bermain drama politik sebaliknya membela rakyat dan menegakkan kebenaran. - 11 Ogos, 2026
The post RCI Tabung Haji: Keluar Dewan bukti pembangkang tak matang, main drama politik, bidas Ibrahim Ali appeared first on Scoop.






