
KUALA LUMPUR: Jawatan dalam Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh dijadikan tempat penghargaan politik atau ruang memberi kedudukan kepada individu yang mempunyai hubungan politik.
Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berkata, pelantikan dalam lembaga institusi itu perlu dibuat berdasarkan integriti, kepakaran dan kompetensi kerana TH mengurus amanah besar umat Islam.
Menurutnya, RCI sendiri mencadangkan pindaan Akta Tabung Haji bagi melarang ahli politik aktif dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH dan anak syarikatnya.
“Jawatan dalam Lembaga Tabung Haji tidak boleh dianggap sebagai jawatan penghargaan.
“Ia bukan tempat untuk memberikan kedudukan kepada orang yang mempunyai hubungan politik. Ia bukan tempat untuk mengumpul pengaruh. Ia adalah amanah profesional,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Aminuddin berkata, budaya pelantikan dalam TH perlu diubah supaya institusi itu tidak terdedah kepada kepentingan kepartian.
Katanya, setiap calon lembaga perlu melalui saringan jelas merangkumi integriti, pengalaman pelaburan, kewangan Islam, pengurusan risiko, audit, perakaunan, undang-undang, tadbir urus korporat dan pengurusan haji.
“Tabung Haji mesti diurus oleh orang yang layak, bukan orang yang sekadar dikenali,” katanya.-UTUSAN
The post TH bukan tempat habuan politik appeared first on Utusan Malaysia.






