Laporan RCI Tabung Haji Dibincang, Dewan Rakyat Adakan Sidang Khas 11 Ogos 

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 8:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Laporan RCI Tabung Haji Dibincang, Dewan Rakyat Adakan Sidang Khas 11 Ogos 

KUALA LUMPUR - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat 11 Ogos nanti. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang khas itu akan bermula 10 pagi dan diteruskan sehingga perbahasan selesai, selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Pada 11 Ogos nanti akan diadakan sidang khas Parlimen. Saya telah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan beliau bersetuju. 

“Sidang akan bermula pada jam 10 pagi dan berlangsung sehingga selesai perbahasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, hari ini.

Sidang khas itu bertujuan memberi ruang kepada Ahli Parlimen meneliti dapatan laporan RCI yang menyiasat pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain membahaskan syor-syor penambahbaikan bagi memperkukuh institusi berkenaan.

Laporan setebal 211 muka surat yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu mengandungi 25 syor meliputi aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan penambahbaikan operasi.

Menurut kerajaan, sebanyak 75 peratus daripada syor berkenaan telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh peranan TH dalam mengurus simpanan pendeposit serta operasi haji.

Antara dapatan utama laporan itu ialah TH dianggarkan mencatat kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada tahun 2017 sekiranya piawaian pelaporan kewangan yang berkaitan diguna pakai sepenuhnya, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang direkodkan dalam penyata kewangannya ketika itu.

RCI turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam aspek tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan tanggungjawab antara lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi, selain kebimbangan terhadap campur tangan politik dalam pentadbiran TH.

Anwar berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan laporan penuh RCI dibuat bagi memastikan ketelusan, selain memberi peluang kepada rakyat memahami isu yang menjejaskan salah satu institusi kewangan Islam paling penting di negara ini.

“Jemaah Menteri bersetuju supaya keseluruhan laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum.

“Tabung Haji ialah sebuah institusi yang hebat dan dihormati, diasaskan hasil gagasan tokoh pemikir, ilmuwan dan pejuang negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz. Institusi ini mempunyai rekod cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada ratusan ribu jemaah haji,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran ibu pejabat baharu Maybank ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

Mengulas lanjut, Anwar berkata TH ditubuhkan berteraskan prinsip integriti, amanah dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab, namun asas tersebut pernah terjejas akibat kelemahan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan sebelum ini.

“Tabung Haji hampir runtuh akibat kecuaian kerana institusi ini tidak dipelihara dengan sebaiknya, termasuk dalam aspek kewangannya. 

“Ia terpesong akibat ketamakan, sikap melampau, kecuaian dan dorongan kepentingan diri yang akhirnya membawa kepada kemusnahan,” katanya. - Getaran, 30 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved