
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka lima kertas siasatan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini pihaknya menerima sembilan laporan polis daripada TH, anak syarikat TH dan orang awam.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Dalam usaha melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi terlibat dari dalam dan luar negara di samping mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web Jakim pada malam Selasa dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.
Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan serta operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: Polis buka lima kertas siasatan appeared first on Kosmo Digital.





