SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen khusus bagi melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap institusi Islam, termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memastikan isu berkaitan tadbir urus dapat dipantau secara lebih berkesan.
Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz berkata, cadangan itu dibuat susulan keputusan kerajaan untuk membentangkan dan membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Tabung Haji di Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini.
Menurut beliau, langkah membuka ruang perbahasan di Parlimen merupakan perkembangan yang wajar disambut baik kerana institusi itu adalah medan utama mewakili suara rakyat dalam membincangkan perkara berkepentingan awam.
"Kita mencadangkan untuk Parlimen mewujudkan satu Jawatankuasa Khas di bawah Perkara 82 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang keahliannya terdiri dari ahli Parlimen Muslim dari pelbagai parti untuk melaksanakan semak imbang kepada institusi Islam seperti TH.
"Perbahasan di Parlimen penting kerana Parlimen adalah institusi rakyat yang mempunyai mandat bagi membahas perkara besar seperti RCI TH. Ia adalah satu gambaran kepada ketelusan yang amat penting untuk rakyat.
"Menerusi Jawatankuasa ini, ia boleh memainkan peranan memanggil pihak terlibat termasuk memanggil kelompok pakar dalam pelbagai bidang termasuk korporat, kewangan, dan pelaburan bagi mendapatkan pandangan dan buah fikiran dalam sesuatu isu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jemaah Menteri pada Rabu bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI itu kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.
Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya, manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Mengulas lanjut, Faisal berkata, pengalaman yang berlaku terhadap TH menunjukkan perlunya mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh bagi mengelakkan sebarang kelemahan tadbir urus atau skandal berulang pada masa hadapan.
"Mekanisme semak dan imbang penting memandangkan institusi Islam seperti TH adalah penting kerana ia melibatkan kepentingan besar umat Islam di negara ini," katanya.
Beliau berkata, menerusi jawatankuasa berkenaan ia boleh memainkan peranan memanggil pihak terlibat termasuk memanggil kelompok pakar dalam pelbagai bidang termasuk korporat, kewangan dan pelaburan bagi mendapatkan pandangan dan buah fikiran dalam sesuatu isu.
Dalam pada itu, Faisal turut menyambut baik syor RCI yang mencadangkan penubuhan sebuah badan bebas bagi menasihati serta membantu Perdana Menteri dalam urusan pemilihan Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah TH.
Menurutnya, syor berkenaan mampu memperkukuhkan tadbir urus institusi tersebut selain meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan TH pada masa hadapan.






