PAS menyelar taktik kempen yang didakwa digunakan segelintir pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam usaha meraih sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pendekatan takutkan masyarakat bukan Islam kaedah politik lama
Menerusi hantaran yang dikongsi Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman di Facebook, beliau menyatakan pendekatan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam terhadap PAS merupakan kaedah politik lama yang tidak lagi sesuai digunakan.
Ujar Syahir, pendekatan seperti itu sepatutnya ditinggalkan oleh pemimpin yang berfikiran intelek dan lebih memberi tumpuan kepada dasar serta polisi.
“DAP pun sudah tidak guna kaedah lapuk itu.
“Intelek seperti YB Putrajaya, saya harapkan bercakap soal dasar dan polisi,” katanya.
Kenyataan MP Putrajaya
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kempen PRN Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Terima kasih ‘kempen’ Pas.
“Tanpa selindung, Bersatu = PH (Pakatan Harapan).
“Dengan hormat, YB Putrajaya asal Kelantan, patut lebih tahu,” tulisnya lagi.
Hak bukan Islam di SG4 kekal terpelihara
Syahir turut mendakwa masyarakat Cina, India dan Siam di Kelantan telah hidup dalam keadaan aman di bawah pentadbiran PAS sejak tahun 1990 tanpa berdepan sebarang bentuk diskriminasi.
“Termasuk di Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4), hak bukan-Islam kekal terpelihara.
“Entah mengapa, PAS ‘dimomokkan’ di Negeri Sembilan oleh BERSATU,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau secara sinis mencadangkan agar tugas menyerang PAS diserahkan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), melainkan ada pihak yang bercadang untuk bertukar kerjaya.
Terdahulu, menerusi siri kempen BERSATU, Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu dilaporkan berkata masyarakat bukan Islam yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) sebenarnya akan memberi sokongan kepada PAS.
Beliau turut mendakwa PAS di Negeri Sembilan menggunakan nama PN bagi menampilkan imej yang lebih sederhana sepanjang pilihan raya berlangsung.
Sumber: Facebook Shahir Sulaiman








