RCI TH: ‘Jika Mereka Tak Bersalah, Pertahankan; Jika Bersalah, Sila Dakwa’ - PM

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 6:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RCI TH: ‘Jika Mereka Tak Bersalah, Pertahankan; Jika Bersalah, Sila Dakwa’ - PM

KUALA LUMPUR - Kabinet diharap dapat membuat keputusan muktamad dalam mesyuarat pada Rabu ini berhubung cadangan menyahklasifikasikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap laporan tersebut dapat didedahkan kepada umum.

Berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin di Gemas, beliau berkata, rakyat berhak meneliti kandungan laporan tersebut sekiranya ia tidak lagi diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia.

“Sekiranya individu yang terlibat didapati tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka perlu dipertahankan.

“Jika mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah, maka mereka perlu menjalani hukuman tersebut. Itu bukan urusan saya,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, proses siasatan, pendakwaan dan penghakiman perlu dilaksanakan oleh institusi yang diberi kuasa tanpa campur tangan kerajaan.

Katanya, siasatan adalah tanggungjawab agensi penguatkuasaan, pendakwaan di bawah bidang kuasa Peguam Negara, manakala keputusan bersalah atau tidak serta hukuman ditentukan oleh mahkamah.

“Kerajaan komited memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya. 

Mengulas mengenai RCI Tabung Haji, Anwar berkata, isu itu dibangkitkan kerana beliau percaya keamanan dan kestabilan negara tidak akan dapat dipertahankan sekiranya pihak yang diamanahkan dengan tanggungjawab mengkhianati kepercayaan diberikan.

Kenyataan Perdana Menteri menyusul sokongan dizahirkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap cadangan untuk mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, turut mencadangkan supaya laporan tersebut dikeluarkan daripada perlindungan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), sekali gus membolehkan kandungannya didedahkan kepada masyarakat.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman. - Getaran, 27 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved