
TikTok, platform utama untuk video pendek peranti mudah alih, kini bersedia untuk penganjuran TikTok Awards Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada 11 Ogos 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre) Kuala Lumpur.
Bertemakan ‘Realisasikan Impianmu, TikTok merupakan platform yang menggalakkan pencipta kandungan untuk mencabar batasan kreativiti dan merealisasikan impian mereka.
Sebagai platform yang merangsang kreativiti dan membawa keceriaan, TikTok Awards menjadi tapak lonjakan untuk meraikan aspirasi baharu serta membuka peluang kepada para pencipta membuktikan impian mereka menjadi kenyataan dan terbukti.
Sebagai penghargaan terhadap pencipta konten tempatan dan karya mereka, termasuk kandungan e-dagang TikTok Shop, TikTok Awards 2024 mempersembahkan tema kepelbagaian budaya Malaysia yang boleh dinikmati oleh penonton di seluruh dunia.
TikTok Awards yang diperkenalkan tahun lalu telah memberikan ruang dan laluan yang besar kepada pemenang-pemenang dan calon-calon yang tersenarai mengorak langkah dalam penciptaan konten dan kerjaya profesional masing-masing.
Bahkan, ada yang mencipta nama dengan terus-menerus meraih pencapaian luar biasa serta mendapat perhatian media bersama platform ini.
TikTok Awards Malaysia 2024 akan berlangsung pada 11 Ogos 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre) Kuala Lumpur. Acara megah ini bukan sahaja akan merayakan kejayaan pencipta kandungan tempatan, tetapi juga menjadi platform penting di mana mereka dapat mengubah impian mereka menjadi realiti melangkaui skrin.
"Kami amat teruja untuk membawa kembali TikTok Awards tahun ini bagi meraikan dan menghargai pencapaian para pencipta kandungan tempatan. Tahun ini, kami benar-benar ingin menitikberatkan semangat komuniti kami yang berbakat dan pelbagai di TikTok Awards Malaysia 2024!”
“Bertemakan 'Realisasikan Impianmu' (Celebrating New Dreams), kami komited untuk merealisasikan aspirasi para pencipta kami dengan menyediakan platform di mana kreativiti dan jiwa positif mereka boleh berkembang," kata Ketua Program & Wawasan Pemasaran SEA, TikTok, Yin Yin Hooi.
Sementara itu, Pengurus Besar Kandungan TV3, Puan Marlia Zul Amran berkata, "TV3 berbesar hati untuk menjadi platform utama menganjurkan TikTok Awards di Malaysia untuk tahun kedua, mengeratkan kolaborasi antara TV3 dan TikTok.”
“Kerjasama ini mengetengahkan peranan TV3 sebagai penyiar utama serta menampilkan kreativiti dan bakat luar biasa dalam komuniti TikTok. Acara ini bukan sahaja meraikan pencipta kandungan yang memberikan inspirasi , malah juga mencorakkan dunia digital kita."
TikTok Awards Malaysia 2024 akan menampilkan dua segmen utama iaitu Pilihan Juri (Judge's Pick) dan Pilihan Popular (People's Choice).

Bagi kategori Pilihan Juri, para calon dipilih berdasarkan kriteria khas dan dinilai oleh panel eksekutif yang terdiri daripada Khairul Aming, Pengurus Besar Operasi TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra, serta Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.
Barisan panel ini akan menilai setiap pencipta konten dalam kategori masing-masing seperti hiburan, animasi, permainan, makanan, pendidikan, sukan, serta kecantikan & fesyen.
Untuk Pilihan Popular, TikTok sekali lagi membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengundi pencipta kandungan kegemaran mereka. Pengundian awam untuk lima kategori (Creator of the Year, Celebrity of the Year, Video of the Year, TikTok LIVE Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year) akan dibuka bermula 25 Julai sehingga 9 Ogos 2024.
Undian boleh dibuat di SINI.
TikTok Awards tahun ini juga berbangga untuk memperkenalkan sebuah anugerah istimewa iaitu ‘Changemaker of the Year’. Anugerah ini bertujuan untuk mengetengahkan dan memberi sokongan kepada mereka yang berani mencipta impian.
Melalui kategori ‘Changemaker of the Year’, TikTok berhasrat untuk mengiktiraf pencipta yang berjaya memberikan impak besar dan melangkaui batasan yang positif melalui kandungan yang dicipta.
Pendek kata,anugerah ini bertujuan untuk mengangkat mereka yang bercita-cita besar dan mampu membawa impak perubahan kepada komuniti dan masyarakat sekeliling.
Malam gemilang TikTok Awards bakal direalisasikan melalui gandingan hebat Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara.
Pencipta kandungan TikTok, Ceddy Ang dan Ain Edruce, kedua-duanya yang telah menemui niche masing-masing, bakal menggalas tanggungjawab untuk menyambut kehadiran rakan-
rakan pencipta kandungan yang lain dan menerumah ramah mereka di karpet merah.
Manakala bagi bekas calon pencipta kandungan kategori Kecantikan dan Fesyen pada tahun lalu, iaitu Eima Safuan pula dipertanggungjawabkan sebagai pengacara belakang pentas
bersama pelakon, Daniel Fong.
Antara barisan selebriti dan pencipta konten hebat yang akan memeriahkan pentas bagi menyampaikan anugerah kepada bakal pemenag termasuklah Khairul Aming, Ryanbakery,
Sofyank dan Goh Liu Ying.
Nantikan juga persembahan memukau daripada Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, Sarah Suhairi, Amir Jahari, dan ramai lagi yang pasti akan memikat dan menghiburkan penonton sepanjang malam.
Saksikan siaran langsung TikTok Awards Malaysia 2024, eksklusif hanya di TV3 dan akaun rasmi TikTok Malaysia pada jam 9.00 malam, Ahad, 11 Ogos 2024! – Getaran, 27 Julai 2024




