Realiti baharu part timer lepasan SPM

OpinionLifestyle
5 May 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Realiti baharu part timer lepasan SPM
Pengalaman bersusah payah sebenarnya membentuk ketahanan mental, disiplin dan nilai menghargai rezeki. Foto hiasan

MERAK Jalanan melihat fenomena dalam kalangan lepasan SPM hari ini bekerja sambilan bukan lagi sekadar cari duit poket atau pengalaman.

Ia kini satu gaya hidup yang datang bersama pakej tersendiri. Menariknya, bukan kerja itu yang jadi perhatian, tetapi cara mereka hadir ke tempat kerja.

Jika dahulu, anak muda sanggup berjalan kaki, mengayuh basikal malah menunggu bas berjam-jam demi sampai ke tempat kerja.

Kini lain ceritanya, ada dihantar ibu bapa, malah siap ada 'driver tetap' setiap hari. Situasi ini mengundang pelbagai reaksi, ada menggelar mereka anak manja, tidak kurang juga mempertahankan sebagai tanda kasih sayang ibu bapa.

Persoalannya, adakah ini benar-benar cerminan kelemahan daya juang generasi muda atau sekadar perubahan zaman yang menuntut pendekatan berbeza?

Realitinya, dunia hari ini tidak sama seperti 10 hingga 15 tahun lalu. Isu keselamatan, jarak tempat kerja, kemudahan pengangkutan awam yang tidak konsisten serta kebimbangan ibu bapa menjadi antara faktor utama.

Dalam konteks itu, tindakan menghantar anak ke tempat kerja bukan semata-mata memanjakan tetapi satu bentuk perlindungan. Namun, Merak Jalanan juga melihat sisi lain perlu diberi perhatian. Apabila segala urusan dipermudahkan, di mana ruang untuk anak muda belajar berdikari?

Pengalaman bersusah payah sebenarnya membentuk ketahanan mental, disiplin dan nilai menghargai rezeki.

Mungkin bukan soal siapa betul atau salah tetapi soal keseimbangan. Ibu bapa boleh membantu, bagaimanapun jangan sampai menghapuskan peluang anak-anak untuk belajar tentang kehidupan sebenar.

Pendapat Merak Jalanan, bekerja sambilan bukan sekadar tentang gaji hujung bulan tetapi mengenai perjalanan menjadi dewasa.

View Original Article