Realme 11 5G, calon telefon 5G Rahmah dengan kamera 108MP dan pengecas 67W sebagai tarikan

Digital
30 Aug 2023 • 3:23 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Realme Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan tiga produk baru mereka untuk pasaran tempatan. Watak utama dalam pelancaran kali ini adalah Realme 11 5G, telefon pintar 5G mampu milik yang menepati ciri-ciri peranti untuk Pakej 5G Rahmah.

Realme 11 5G menjadi ahli keluarga ketiga dalam siri Realme 11, selepas Realme 11 Pro dan Realme 11 Pro+ dilancar bulan lepas. Di pentas yang sama hari ini, Realme juga turut melancarkan tablet baru, Realme Pad 2 serta fon putik ANC Realme Buds Air 5.

Harga dan Promosi

Realme membawakan hanya satu varian untuk pasaran Malaysia, dengan storan yang besar pada harga berikut:

  • Realme 11 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,199

image is not available

Telefon ini telah dijual mulai hari ini, 30 Ogos 2023 di atas talian iaitu Lazada, Shopee dan TikTok rasmi Realme Malaysia. Manakala di kedai fizikal dan pengedar sah Realme, ia akan tersedia bermula 31 Ogos 2023.

Realme juga ada menawarkan promosi pembelian awal untuk peminat yang mendapatkan Realme 11 5G dalam masa terdekat. Di atas talian, 30 pembeli pertama akan menerima hadiah percuma berupa Powerbank 10,000mAh, Realme Buds T100, waranti kerosakan akibat kemalangan 1 tahun dan waranti lanjutan 1 tahun. Selepas habis 30 unit ini, semua pembeli akan menerima waranti kerosakan akibat kemalangan 1 tahun dan waranti lanjutan 1 tahun.

Di kedai fizikal pula, dari 31 Ogos hingga 2 September 2023, pembeli akan menerima hadiah percuma berupa Realme Buds T100 (kedai terpilih), waranti kerosakan akibat kemalangan 1 tahun dan waranti lanjutan 1 tahun.

Pada harga sebegini, Realme 11 5G bersaing rapat dengan telefon pintar Honor 90 Lite (RM1,099) dan Redmi Note 12 5G (RM1,099).

Spesifikasi Realme 11 5G

Modul kamera belakang Realme 11 5G menggunakan rekaan bulatan yang dipanggil Glory Halo. Ia dibuat menggunakan cara yang serupa untuk menghasilkan jam premium, sekaligus memberi rasa estetik berkualiti tinggi. Dengan kamera utama 108MP menggunakan sensor Samsung ISOCELL HM6 dan saiz sensor besar 1/1.67-inci, ia mampu mengezum digital tanpa kehilangan kualiti (lossless) sehingga 3x. Ia dipasangkan bersama kamera potret 2MP.

Menggunakan tenaga SuperVOOC 67W, ia mampu mengecas bateri 5,000mAh di dalam telefon Realme 11 5G dari 0 ke 50%, dalam masa 17 minit sahaja. Kepala pengecas SuperVOOC dan kabel USB-C ke USB-A diberikan di dalam kotak.

Realme 11 5G dibekalkan kuasa pemproses dari cip Dimensity 6100 5G 6nm, bersama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Skrin pula jenis LCD seluas 6.72-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan pula setinggi 550 nits dan kecerahan puncak sehingga 680 nits. Lubang kecil di dahi skrin, menempatkan kamera hadapan 16MP.

Telefon ini menyokong dwi-sim 5G, serta Bluetooth 5.2 dan dwi-jalur WiFi 5. Tiada sokongan WiFi 6. Sistem operasi yang digunakan adalah Realme UI 4.0, berasaskan Android 13.

Terdapat dua warna penuh menyerlah disediakan untuk pilihan pengguna. Pertama adalah warna emas dan kedua warna hitam. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Realme 11 5G.

image is not available

Bacaan Berkaitan