Ulasan Realme 11 5G – Peranti Mampu Milik Cantik

TechnologyDigital
30 Aug 2023 • 10:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dalam era 5G ramai yang mencari peranti yang mampu milik tetapi masih boleh menggunakan rangkaian selular terkini ini. Terdapat banyak pilihan di pasaran sekarang masing-masing dengan kebaikan serta kekurangan tersendiri. Minggu ini Realme 11 5G memasuki pasaran tempatan dengan kombinasi harga patut, rekaan cantik dan prestasi yang kami rasakan memuaskan. Di bawah ialah ulasan penuh kami mengenai Realme 11 5G.

SPESIFIKASI

Realme 11 5G
Skrin6.72″ IPC LCD, FHD, 120HZ
PemprosesMediaTek Dimensity 6100+ (6nm)
Cip2 X 2.2 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256GB UFS 2.2
Mikro SD 2TB
Kamera Utama108MP, f/1.75 (Sudut Lebar)
2MP, f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Swafoto16MP f/2.45
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanJari/Wajah
Harga JualanRM 1199 (8/256 GB)

SKRIN

Skrin 6.72″ adalah dari jenis IPS LCD, resolusi FHD+ dan kadar segar semula yang adaptif. Kadar segar semula berubah antara 45, 48, 50, 60, 90 dan 120Hz bergantung kepada kandungan yang ditonton pada skrin. Warna nampak hidup dan apabila ditatal semuanya nampak lancar. Kekurangan hanyalah skrin LCD tidak begitu jelas di bawah matahari yang terang dan tiada pengimbas cap jari terbina bawa skrin.

image is not available

Tiada isu dengan bezel yang sedikit tebal di bawah ataupun lubang kamera di tengah. Isu yang kecil ialah tiada langsung sokongan HDR pada Realme 11 5G. Maka jika anda melanggan kepada pelan HDR Netflix misalnya, kandungan tidak boleh ditonton pada tetapan ini. Satu lagi perkara yang mungkin perlu anda tahu ialah sistem haptik pada skrin adalah dari jenis lama. Kadang kala hujung jari terasa geli kerana getaran yang terlalu kuat.

image is not available

BIOMETRI

Pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa. Permukaan butang kuasa yang besar dan rata memudahkan jari dikesan dengan pantas. Sepanjang tempoh ulasan lebih seminggu kami tidak mengalami isu jari gagal dikesan. Terdapat juga imbasan wajah yang juga pantas asalkan digunakan dalam suasana terang.

REKAAN

Rekaan tubuh adalah amat mirip dengan sebuah iPhone 14 Pro Max. Sisi berkotak dengan kemasan logam yang berkilat. Realme 11 5G ialah peranti kedua selepas Nothing Phone (2) yang kami ulas mengambil inspirasi daripada rekaan iPhone 14 Pro Max. Walaupun kurang digemari pengguna, kami merasakan sekiranya rekaan akhir selesa dalam tangan dan nampak cantik ia bukanlah isu sebenar. Ada sebab mengapa iPhone 14 Pro Max menjadi telefon dengan jualan tertinggi pada H1 2023.

image is not available

Untuk mengatakan Realme meniru Apple sepenuhnya adalah tidak 100% tepat. Peranti ini mempunyai bicu audio 3.5mm, dan port pengecas USB-C yang tiada pada iPhone. Pada sisi kanan terdapat butang laras audio serta butang kuasa. Sementara pada sisi kiri pula diletakkan talam dwi-SIM bersaiz nano dan kad mikro SD. Memori boleh ditambah sehingga 2TB tanpa mengambil slot untuk SIM kedua.

Satu ciri yang tidak dipinjam daripada iPhone ialah speaker stereo. Malang sekali hanya satu speaker mono disertakan pada bahagian bawah. Peranti ini juga tiada sebarang piawaian kalis air serta debu. Tidak mengejutkan kerana ia sekadar sebuah peranti mampu milik.

image is not available

Bergerak ke belakang terdapat panel plastik dengan kemasan berkilat pada peranti yang diulas. Nampak cantik kerana padan dengan bingkai logam yang berwarna keemasan. Terdapat sebuah bonggol besar untuk dwi kamera 108MP sudut lebar dan 2MP kedalaman. Terasa seperti melampau bonggol besar tetapi kamera sekadar dua sahaja menemani kamera swafoto 16MP di hadapan. Kerana saiz bonggol ini agak besar, peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja tetapi Realme memberikan sebuah kerangka silikon yang menyelesaikan isu kecil ini.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi Realme UI 4.0 berasaskan Android 13 digunakan pada telefon ini. Ia sama sahaja dengan sistem operasi yang kami gunakan pada beberapa peranti Realme tahun ini.

image is not available

Perkara positif mengenai Realme 4.0 ialah sangat kemas kerana tiada elemen tambahan yang tidak diperlukan. Animasi adalah sangat lancar ketika peranti ditatal. Ikon besar pada talam notifikasi memudahkan pintasan untuk WiFi, Bluetooth, lampu suluh dan banyak lagi ditekan kerana nampak jelas. Pemperibadian tema elemen antaramuka berdasarkan imej latar belakang Android 13 disokong pada Realme 4.0.

image is not available

Terdapat ciri tambahan seperti RAM Expansion yang menambah 2GB, 4GB, dan 8GB secara mata. Sepanjang ulasan kami gunakan 4GB untuk memori keseluruhan 12GB dan kami rasakan ia lebih daripada mencukupi.

Terdapat aplikasi Phone Manager yang boleh membantu melancarkan peranti. Memori boleh dikosongkan dan fail yang tidak diperlukan dipadam terus supaya tidak menyemakkan storan. Walaupun tubuh Realme 11 nampak seperti iPhone, ciri Mini Capsule seakan Dynamic Island yang diberikan kepada Realme C53 dan C55 tidak pula diberikan kepada peranti ini.

image is not available

Kekurangan pula terletak pada jumlah aplikasi gendut yang amatlah banyak. Aplikasi permua sahaja ada sekitar 14 dipasang sejurus selepas peranti dibuka. Antara yang diberikan ialah aplikasi Solitaire, PUBG Mobile, Rolling Twins yang langsung kami tidak perlukan. Kami yakin ramai pembaca tidak suka apabila aplikasi yang tidak diperlukan telah terpasang. Terpaksalah satu persatu dipadam secara manual. Membazirkan storan sahaja.

Ciri tambahan yang diberikan oleh Realme ialah:

  • Flexible Windows – Memaparkan beberapa aplikasi dalam tingkap terapung.
  • Gestur – Sokongan pelbagai gestur untuk mengawal peranti dan melakukan tangkapan layar.
  • Kids Space – Mod untuk kanak-kanak dengan sesetengah aplikasi boleh dikunci.
  • Smart Sidebar – Pintasan pantas ke lapan aplikasi pilihan terus dari talam sisi.
  • Quick Launch – Melancarkan tiga aplikasi popular terus dari skrin kunci.
  • Simple Mode – Mod mudah untuk warga tua dengan antaramuka lebih besar dan deringan lebih lantang.

PENANDA ARAS

Berikut adalah markah ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme telah kami lakukan. Berdasarkan skor yang dicatatkan, Dimensity 6100+ adalah cip kelas permulaan yang dalam kelas yang sama dengan Helio G99. Oleh itu markah yang dicatatkan memang tidak tinggi.

Kami bandingkan Realme 11 5G dengan Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 10 4G (Helio G99), Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330), dan Oppo A98 5G (Snapdragon 695)

Antutu 3D Benchmark

  • Realme 11 5G – 373,331
  • Tecno Pova5 4G – 406,217
  • Realme 10 4G – 398,203
  • Samsung Galaxy M14 5G – 454,662
  • Oppo A98 5G – 411,010

Geekbench6

  • Realme 11 5G – 720/1884
  • Tecno Pova 5 4G – 737/2005
  • Realme 10 4G – 572/1743
  • Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129
  • Oppo A98 5G – 885/2034

WildLife Extreme

  • Realme 11 5G – 327
  • Tecno Pova 5 4G – 1,263
  • Realme 10 4G – N/A
  • Samsung Galaxy M14 5G – 1388
  • Oppo A98 5G – 1212

image is not available

Markah tak tinggi tetapi kami rasakan prestasi penggunaan peranti adalah lancar. Tidak melampau untuk kami katakan Dimensity 6100+ adalah sekadar Helio G99 dengan kemampuan 5G sahaja. Namun begitu tiada isu peranti rasa tidak cukup berkuasa. Banyak aplikasi utama seperti Netflix, YouTube, TikTok, Facebook, WhatsApp, X dan Chrome boleh dijalankan tanpa masalah.

Prestasi permua pula tidak menakjubkan tetapi COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9 kesemuanya dapat dimainkan pada tetapan sederhana. Tiada isu pemanasan melampau kami alami sekadar suam-suam sahaja selepas sesi permainan yang panjang.

image is not available

TELEFONI dan GPS

Peranti tiada masalah menggunakan rangkaian 5G Digi semasa tempoh ulasan, Kelajuan internet adalah memuaskan dan begitu juga dengan kelajuan WiFi yang menyokong sehingga WiFi 5 GHz. Tiada sokongan WiFi 6 tetapi tidak kami rasai memandangkan internet di rumah tidak boleh mencapai kelajuan setinggi WiFi 6. Bagi majoriti pengguna WiFi 5GHz sudah memadai. Prestasi GPS tidak begitu pantas. Memerlukan masa beberapa saat sebelum lokasi dikesan.

KAMERA

Kamera sekadar 108MP sudut lebar menggunakan sensor Samsung HM6 dengan teknologi nonabinning yang menggabungkan 9 pixel menjadi satu. Maka gambar yang diambil hanya sebesar 12MP. Ia dipadankan dengan sensor 2MP kedalaman dan kamera 16MP swafoto di hadapan. Sensor utama memang cukup besar tetapi kami kecewa tiada lensa ultra sudut lebar yang lebih berguna.

image is not available

Dengan teknologi nonabinning gambar yang diambil pada waktu siang yang terang adalah amat memuaskan. Kami rasakan lebih baik berbanding purata kualiti peranti dalam kelas yang sama. Imej nampak tajam, warna nampak hidup dan apabila melakukan zum masih nampak tajam pada tetapan 3X pada waktu siang.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Mod malam adalah amat memuaskan jika tiada zum dilakukan. Gambar di bawah masih nampak tajam walaupun kamera tidak dilengkapi OIS. Tetapi sejurus selepas kamu lakukan zum 3X dalam mod malam, kualiti gambar jatuh mendadak. Imej nampak agak lembut dengan warna yang mula hilang seri.

image is not available

image is not available

image is not available

BATERI

Bateri yang diberikan berkapasiti 5000mAh dan menyokong pengecasan berwayar 67W yang disertakan dalam kotak. Hayat bateri adalah sederhana sahaja dengan SOT 8 jam secara purata pada penggunaan sederhana. Dengan kapasiti bateri yang besar kami sebenarnya mengharapkan hayat yang lebih lama. Sepanjang tempoh ulasan peranti boleh bertahan seharian sebelum hanya perlu dicas sebelum tidur. Waktu pengecasan semula adalah kurang sejam yang adalah tempoh yang pantas.

image is not available

AUDIO

Hanya ada sebuah speaker mono di bahagian bawah, Maka prestasi audio Realme 11 5G adalah tidak memuaskan. Speaker tidak jelas, tidak cukup lantang dan tidak jelas pada tetapan tinggi sekalipun. Sistem audio pula sekadar Real Sound Technology dan bukannya Dolby Atmos. Kekecewaan sedikit terubat kerana wujudnya bicu audio 3.5mm.

image is not available

PERANTI PESAING

Realme 11 5GVivo Y36 5GOnePlus Nord CE 3 Lite
6.72″ IPS LCD 120Hz
1080 x 2400 piksel
(~392 ppi)
6.44″ IPS LCD 60Hz
1080 x 2388 piksel
(~395 ppi)
6.72″ IPS LCD 120Hz
1080 x 2400 piksel
(~391 ppi)
Dimensity 6100+ (6nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 6020 (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 695 (6 nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x1.7 GHz Kryo 660 Silver
Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2Adreno 619
8GB RAM8GB RAM8GB RAM
256GB ROM256GB ROM256GB ROM
Kamera Utama
108MP, f/1.8 (Lebar)
2MP, f/2,4 (Kedalaman)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Lebar)
2MP, (Kedalaman)
Kamera Utama
108MP, f/1.8, (Lebar)
2MP, f/2.4, (Makro)
2MP, f/2.4, (Kedalaman)
Kamera Hadapan
16MP, f/2.5
Kamera Hadapan
16MP f/2.5
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
TiadaIP54Tiada
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio monoAudio monoAudio stereo
5000mAh
Berwayar 67W
5000mAh
Berwayar 44W
5000mAh
Berwayar 67W
RM1199 (8/256GB)RM1099 (8/256GB)RM1099 (8/256GB)


DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Realme 11 5G.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 67W dua pin.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

image is not available

KESIMPULAN

Realme 11 5G adalah peranti mampu milik yang kelihatan seperti sebuah peranti yang dijual pada harga lebih mahal. Ia amat selesa dalam tangan serta mempunyai sisi berkotak yang membuatkannya nampak kukuh. Peranti beroperasi dengan baik walaupun di atas kertas ia berspesifikasi rendah. Kamera juga berfungsi dengan baik cuma sedikit perlahan.

image is not available

Kekurangan ialah ia hanya sekadar dilengkapi speaker mono, terlalu banyak aplikasi gendut dan tiada lensa ultra sudut lebar. Pada harga RM1199 ia sebuah peranti 5G yang mampu milik membuktikan kita tidak semestinya berbelanja besar untuk kelihatan bergaya.

Pro

  • Rekaan yang nampak lebih premium berbanding harga.
  • Skrin cantik dengan sokongan 120Hz.
  • Prestasi masih memuaskan walaupun spesifikasi rendah.
  • Kamera utama 108MP mengambil gambar dengan baik.
  • Pengecasan pantas.

Kontra

  • Tiada kamera sudut lebar.
  • Audio mono.
  • Banyak aplikasi gendut.

image is not available