Realme 12 5G dilancarkan secara rasminya sebentar tadi di India. Ia dipasarkan sebagai telefon pintar kelas pertengahan yang turut memfokuskan terhadap fotografi. Namun salah satu yang paling menonjol pada peranti sudah tentulah pada fungsi Dynamic Button yang terbina pada butang kuasa.

Ia diposisikan pada bahagian kanan peranti dan boleh diubahsuai untuk pelbagai akses pintas. Misalnya seperti akses untuk aplikasi kamera, menyalakan lampu suluh, mengaktifkan mod penerbangan, membisukan peranti dan sebagainya. Selain itu sensor cap jari juga terbina sekali pada butang kuasa ini.

Seterusnya peranti juga menggunakan skrin sebesar 6.72-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Cip MediaTek Dimensity 6100+, memori 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 128GB juga digunakan sebagai tunjang utama. Dalam masa sama peranti turut menjalankan pelancar baharu Realme UI 5.0 yang dibina berasaskan Android 14.

Selain itu kamera utama 108MP (Samsung ISOCELL HM6) + 2MP disediakan pada panel belakang peranti. Diikuti pula kamera swafoto 8MP yang diletakkan dalam lubang kecil di panel hadapan. Bateri 5000mAh juga disediakan dengan pengecasan pantas 45W dan boleh dicas melalui port USB-C.

Peranti juga mempunyai bicu audio 3.5mm dan pembesar suara stereo yang menjadi nilai tambahan menarik lain. Harga jualan di India bermula INR 16999 (~RM970) (6/128GB) dan INR 17999 (~RM1,027) (8/128GB). Peranti juga sedia melepasi SIRIM yang menandakan pelancaran di Malaysia juga semakin hampir.
