Realme telah mengesahkan pelancaran rasmi bagi Realme 15 Pro di India pada 24 Julai 2025. Peranti ini tampil dengan pelbagai spesifikasi menarik termasuk bateri berkapasiti 7000mAh. Di samping paparan HyperGlow 4D Curve+ AMOLED dengan kemampuan memaparkan kandungan visual yang tajam dan melengkung untuk pengalaman cukup imersif.

Peranti ini hadir dengan bateri berkapasiti besar yang menyokong pengecasan pantas 80W melalui port USB-C. Paparan AMOLED yang digunakan menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz, kecerahan maksimum mencapai 6,500 nits serta kadar respon 2,500Hz. Selain itu, reka bentuknya menawarkan nisbah skrin-ke-badan setinggi 94% dan perlindungan tambahan daripada Corning Gorilla Glass untuk ketahanan lebih baik.

Peranti ini turut dijana oleh cip Snapdragon 7 Gen 4 yang menawarkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 27% berbanding model terdahulu. Prestasi ini memastikan pengalaman permua yang lebih lancar serta keupayaan multi-tugas yang lebih efisien untuk memenuhi keperluan pengguna moden.
Dengan ketebalan hanya 7.69mm, Realme 15 Pro tampil sebagai antara telefon pintar paling nipis dalam kelasnya, meskipun dilengkapi bateri berkapasiti besar. Peranti ini juga melepasi piawaian IP69 untuk perlindungan terhadap habuk dan air. Pilihan warna disediakan termasuk Flowing Silver, Silk Purple, Velvet Green dan Silk Pink.

Dari segi perisian, Realme 15 Pro memperkenalkan pelbagai ciri berasaskan AI terkini untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Antaranya ialah AI Edit Genie yang membolehkan suntingan imej dilakukan hanya melalui arahan suara. Selain itu, AI Gaming Coach 2.0 dan AI Ultra Touch Control untuk kawalan lebih responsif semasa permua.

Spesifikasi kamera masih belum diumumkan secara rasmi namun laporan awal menunjukkan peranti bakal dilengkapi dengan sistem dwi-kamera 50MP untuk lensa utama dan ultralebar. Kamera hadapan dijangka menggunakan sensor 32MP untuk swafoto berkualiti tinggi.

