Siri Realme 15 Bakal Dilancarkan Pada 24 Julai 2025

TechnologyDigital
10 Jul 2025 • 3:03 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Realme telah mengesahkan bahawa siri telefon pintar terbaharu mereka iaitu Realme 15 akan dilancarkan secara rasmi di India pada 24 Julai 2025. Siri baharu ini akan terdiri daripada dua model merangkumi Realme 15 dan Realme 15 Pro yang masing-masing menyasarkan pengguna dengan keperluan serta bajet berbeza.

image is not available

Model-model dalam siri ini dijangka hadir dengan beberapa penambahbaikan utama termasuk reka bentuk yang lebih moden, paparan skrin yang lebih terang, badan yang lebih nipis dan ringan, serta prestasi kamera yang lebih canggih. Selain itu, kedua-dua model juga bakal dilengkapi dengan cip pemprosesan berprestasi tinggi serta teknologi kecerdasan buatan yang lebih pintar dan cekap bagi menyokong ciri terkini seperti AI Edit Genie iaitu ciri suntingan foto berasaskan arahan suara.

image is not available

Dari segi pilihan warna, Realme menyatakan bahawa model Realme 15 Pro akan ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu Flowing Silver, Velvet Green dan Silk Purple. Namun begitu, laman sesawang rasmi Realme dan Flipkart turut memaparkan satu lagi pilihan warna iaitu Silk Pink. Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada warna tersebut merujuk kepada model Realme 15 Pro atau versi standard Realme 15.

image is not available

Setakat ini, spesifikasi lengkap bagi kedua-dua peranti masih belum diumumkan secara rasmi. Namun, berdasarkan maklumat awal, model Realme 15 Pro dijangka akan dilengkapi dengan cip Snapdragon, manakala Realme 15 pula mungkin menggunakan cip yang berbeza. Kedua-duanya juga menyokong 5G dan dilengkapi teknologi kamera yang telah dinaik taraf untuk prestasi lebih baik.