Realme C55, telefon termurah dengan ‘Dynamic Island’ sudah tiba di pulau seberang

Digital
8 Mar 2023 • 3:32 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Apple iPhone 14 Pro telah menjadikan lubang di dahi skrin popular dan digemari ramai. Buat peminat Android, pasti ada yang menantikan fungsi yang hampir serupa muncul di telefon Android. Buat permulaan, mungkin anda boleh menantikan kedatangan telefon pintar Realme C55, peranti yang memiliki fungsi seakan “Dynamic Island” pada harga di bawah RM800.

Realme C55 baru sahaja dilancarkan di Indonesia pada 7 Mac 2023. Ia kini telah dijual di negara jiran dan ditawarkan dalam dua varian dengan harga berikut:

  • Realme C55 (RAM 6GB + Storan 128GB) – IDR2.499.000 (~RM731)
  • Realme C55 (RAM 8GB + Storan 256GB) – IDR2.999.000 (~RM877)

image is not available

Ketibaan Realme C55 di Malaysia masih belum dapat disahkan kerana tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Realme Malaysia. Tetapi kedatangannya sudah hampir pasti kerana Realme C55 telah disenaraikan di SIRIM, menandakan ia lulus digunakan diMalaysia dan sedia untuk dijual. Dijangkakan harganya sekitar RM749 (6+128GB) dan RM899 (8+256GB) di sini kelak.

image is not available

Spesifikasi Realme C55

Dengan pelancaran Realme C55 di Indonesia, kita boleh merumuskan bahawa ia akan membawa spesifikasi yang serupa kalau tiba di Malaysia. Seperti ketiadaaan sokongan 5G. Ini kerana Realme C55 menggunakan cip Mediatek Helio G88 12nm, tanpa 5G. Ia dipadankan bersama RAM LPDDR4X sehingga 8GB, dan storan dalaman sehingga 256GB. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB. Terdapat juga fungsi RAM Maya (DRE) yang menggandakan saiz RAM menerusi penggunaan storan dalaman.

image is not available

Skrin di Realme C55 agak besar, seluas 6.72-inci daripada jenis LCD HD Penuh. Kadar penyegarannya 90Hz dan memiliki kecerahan setinggi 680 nits. Sekali pandang, skrin Realme C55 tiada yang luar biasa kerana ada lubang kecil di atasnya yang memuatkan kamera hadapan.

image is not available

Tetapi Realme mengubahsuai sistem operasi mereka dan menambah ciri “Mini Capsule”. Ia adalah fungsi seakan “Dynamic Island” di iPhone 14 Pro yang menjadikan ruang hitam lebih lebar sambil menayangkan maklumat berguna di dalamnya. Antaranya kuasa mengecas, peratus bateri, penggunaan data, serta jumlah langkah harian. Cara ini sebenarnya boleh digunakan di semua telefon Realme yang berlubang di dahi. Tetapi fungsi ini tidaklah memberi nilai tambah, kerana semua maklumat tersebut boleh dipaparkan menerusi notifikasi biasa di bahagian atas skrin. Cuma, ia kelihatan seperti “Dynamic Island” yang pastinya memberi rasa bangga untuk ditayang kepada rakan dan sahabat.

Hanya ada dua kamera di belakang iaitu kamera utama 64MP dan kamera potret 2MP. Kamera hadapannya pula 8MP. Di sisinya, terdapat butang kuasa yang digabungkan bersama pengimbas capjari.

image is not available

Realme C55 juga memiliki kuasa mengecas terpantas di dalam keluarga siri-C. Baterinya berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 33W melalui USB-C. Hanya 63 minit diperlukan untuk mengecas dari 0-100%.

Sistem bunyi di Realme C55 hanya mono dan ia memiliki jek audio 3.5mm untuk menikmati sistem bunyi lebih hebat di telinga. Sistem operasi Realme UI 4.0 berasaskan Android 13, menjadi tunjang utama telefon ini.

image is not available

Terdapat dua warna ditawarkan untuk Realme C55 iaitu kuning dan hitam. Ia adalah warna gradien yang kelihatan berubah-ubah jika dipandang dari sudut berbeza.

Nanti maklumat daripada kami tentang pelancaran Realme C55 di Malaysia kelak.

Bacaan Berkaitan