
Rebadge Kereta, Lagi Berbaloi Atau Merugikan?
Menjenamakan semula atau rebadge bukanlah perkara asing di Malaysia. Dua jenama kesayangan negara Proton dan Perodua telah lama mengamalkan rebadge kereta dari jenama luar negara.
Seperti yang berlaku ketika ini, Proton rebadge kereta dari jenama Geely dari China dan Perodua rebadge kereta jenama Daihatsu dari Jepun.


Kedua-dua jenama Malaysia ini mencatat jualan yang memberangsangkan setiap tahun dengan menerajui carta 5 kereta paling laku di Malaysia.
Kenapa strategi penjenamaan semula lebih baik untuk pasaran yang kecil seperti Malaysia berbanding membina kereta sendiri dari sekeping logam?
Rebadge Kereta Lebih Jimat
Penjimatan Kos R&D: Membina platform, enjin, dan sistem transmisi baharu memerlukan pelaburan modal yang sangat besar. Dengan rebadge, syarikat hanya perlu membayar royalti atau kos perkongsian kepada rakan strategik.
Kelajuan ke Pasaran (Time to Market): Membangunkan kereta sendiri mengambil masa bertahun-tahun. Model rebadge boleh dilancarkan dalam masa yang jauh lebih singkat kerana teknologi sedia ada sudah pun matang dan diuji.

Ekonomi Skala (Economy of Scale): Pengeluaran secara besar-besaran bersama rakan kongsi (seperti kolaborasi Proton-Geely atau Perodua-Daihatsu) mengurangkan harga komponen bagi setiap unit, menjadikan harga jualan akhir lebih kompetitif.
Risiko Kegagalan Rendah: Model yang dipilih untuk di-rebadge biasanya sudah terbukti laku atau berjaya di pasaran negara lain. Ini mengurangkan risiko kerugian jika model tersebut tidak diterima ramai.
Kualiti dan Teknologi Terjamin: Syarikat tidak perlu "bereksperimen" dengan teknologi baharu yang belum tentu stabil. Mereka boleh terus menggunakan teknologi terkini daripada jenama yang sudah kukuh secara global.
Jadi, adakah kita harus rasa malu dengan strategi rebadge dari dua jenama tempatan kita? Jawapan SK adalah tidak. SK cukup bangga dengan apa yang telah dicapai oleh Proton dan Perodua sampai ke hari ini.
Kereta yang dipasarkan juga berkualiti dan menepati citarasa tempatan. Mungkin tak dapat nak puaskan hati semua tapi berjaya memikat majoriti rakyat Malaysia untuk menjadi pengguna. Korang pakai kereta apa? Tulis kat komen.


