KUALA TERENGGANU – "Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda."
Demikian luahan Azlan Yahya, 58, bapa saudara kepada Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, seorang tukang masak yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada awal pagi Ahad.
Biarpun hiba dengan pemergian mengejut bapa kepada tiga cahaya mata itu, ahli keluarga termasuk ibu bapa dan isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32 sepakat untuk membenarkan proses pendermaan organ dilakukan memandangkan usia arwah yang masih muda.
Menceritakan detik sebelum kejadian, Azlan berkata, anak kedua daripada lima beradik itu pada mulanya mengalami simptom gastrik selama lima hari sebelum tiba-tiba rebah di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik di Wakaf Tapai bersama ibu bapanya, petang Selasa lalu.
"Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Wakaf Tapai sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Hulu Terengganu sekitar jam 6 petang.
Selepas diberikan bantuan pernafasan, arwah dipindahkan ke wad neuro dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Muhammad Syukri yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam berhampiran Hospital Hulu Terengganu disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.06 tengah malam tadi.
Kisah Allahyarham menjadi tular di media sosial selepas upacara 'Walk of Honor' diadakan di HSNZ pagi tadi sebagai tanda penghormatan tertinggi kakitangan perubatan atas jasa mulia arwah sebelum prosedur pengambilan organ dilakukan pada jam 5 pagi.
Mengulas mengenai peribadi arwah, Azlan menyifatkan Muhammad Syukri sebagai seorang yang sangat penyayang, periang dan ringan tulang membantu keluarga tanpa pernah meninggikan suara terhadap anak-anaknya yang berusia satu, tiga dan enam tahun.
"Kami pasti akan merindui kehadirannya setiap kali perjumpaan keluarga. Arwah meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak sulung mereka yang merupakan anak istimewa (autisme).
"Walaupun dia tiada sejarah penyakit kronik, sifatnya yang sentiasa rela berkhidmat kepada orang lain membuatkan kami memutuskan untuk meneruskan pendermaan organ ini sebagai amal jariah terakhirnya," tambah Azlan.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah bapanya di Kampung Tok Dor dan neneknya di Felda Bukit Bading untuk penghormatan terakhir.
Solat jenazah dijangka dilaksanakan di Masjid Tok Dor selepas Isyak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh pada malam Ahad.
Sementara itu, menerusi perkongsian media sosial Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, HSNZ merekodkan empat penderma organ setakat April 2026.
Langkah itu disifatkan sebagai satu amal mulia yang mencerminkan keprihatinan dan sifat luhur rakyat Terengganu dalam menyelamatkan nyawa insan lain.
