
Reban Ayam ‘Dijilat Api’, Kira-Kira 14,000 Anak Ayam Rentung
Kira-kira 14,000 anak ayam rentung dalam kebakaran yang melibatkan sebuah reban ayam di pusat ternakan ayam di Jalan Kelatuan Batu 1 Gadong, Papar, pada Rabu.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.50 pagi, melibatkan sebuah blok reban ayam jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.56 pagi.
Seramai 16 anggota termasuk lapan dari BBP Papar kemudiannya segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan satu blok reban ayam yang terdapat kira-kira 14,000 anak ayam di dalamnya.
“Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sembilan lagi blok reban ayam di pusat tersebut,” katanya.
Johainin turut memaklumkan bahawa tiada mangsa terlibat dan jumlah kerugian masih belum dapat ditentukan.
Menurut Johainin, api berjaya dikawal pada jam 2.19 pagi dan operasi hanya ditamatkan kira-kira dua jam kemudian.
Sumber: Sinar Harian
The post Reban Ayam ‘Dijilat Api’, Kira-Kira 14,000 Anak Ayam Rentung appeared first on Siakap Keli.

