
Spekulasi mengenai kemasukan Red Bull sebagai penaja utama Ducati Lenovo semakin hangat diperkatakan dalam paddock MotoGP dan berdasarkan perkembangan semasa, ia bukan lagi sekadar khabar angin tanpa asas.
Langkah Ducati menyambung kontrak Marc Marquez sehingga penghujung musim 2028 dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa pengeluar Itali itu mahu membina projek jangka panjang mereka di era baharu 850cc berasaskan juara dunia sembilan kali tersebut. Seperti yang diketahui ramai, nama Marc dan Red Bull sudah sinonim sejak awal kariernya di pentas GP.
Lebih menarik, Pedro Acosta yang juga merupakan atlet tajaan Red Bull terus dikaitkan dengan perpindahan ke Ducati bagi menggantikan Francesco Bagnaia selepas musim 2026. Jika senario ini menjadi kenyataan, Ducati Lenovo bakal memiliki dua ikon terbesar Red Bull dalam MotoGP di bawah satu bumbung.
Pada masa sama, kontrak tajaan Monster Energy bersama Ducati dikatakan menghampiri penghujungnya. Ini membuka ruang kepada Red Bull untuk mengambil alih peranan sebagai penaja utama pasukan rasmi Ducati.
Gabungan Audi, Ducati, Marc Marquez dan Pedro Acosta dalam era baharu 850cc pastinya menawarkan nilai pemasaran yang luar biasa kepada Red Bull. Buat masa ini semuanya masih di peringkat spekulasi, namun jika semua kepingan teka-teki ini bersatu, pengumuman besar mungkin hanya menunggu masa.
Adakah kita bakal melihat jentera Ducati Lenovo dihiasi logo Red Bull pada 2027? Jangan terkejut jika ia benar-benar berlaku.
The post Red Bull bakal umum kerjasama dengan Ducati Lenovo appeared first on TW Media.
