
Spielberg, Austria | 14 Ogos 2025 — Pusingan keenam Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 membuka tirai minggu perlumbaan di Litar Red Bull Ring, sebuah trek ikonik sepanjang 4.35 kilometer yang terkenal dengan kombinasi kelajuan tinggi dan selekoh teknikal. Litar ini menampilkan 11 selekoh (8 ke kanan, 3 ke kiri) serta laluan lurus sejauh 810 meter yang menuntut ketangkasan, ketepatan dan keberanian maksimum setiap pelumba.
Pelumba muda negara, Hakim Danish, tiba di Spielberg dengan misi penting — mempertahankan kedudukan teratas dalam carta keseluruhan. Selepas lima pusingan, bintang muda kelahiran Malaysia itu mendahului kejuaraan dengan kelebihan 13 mata berbanding pencabar terdekat, Brian Uriarte.
Walaupun tekanan semakin memuncak menjelang perlumbaan penentu ini, Hakim kekal fokus dan bersemangat tinggi untuk terus mengawal kedudukan di tangga teratas. Sepanjang hampir dua minggu pulang ke Malaysia, beliau tidak mengabaikan rutin latihan yang telah disusun oleh SIC Racing Team, termasuk sesi kecergasan dan tunggangan motosikal latihan bagi memastikan fizikal dan mental berada pada tahap optimum.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong, termasuk pasukan, penaja, dan penyokong di Malaysia. Fokus saya adalah untuk kekalkan konsistensi, elakkan kesilapan, dan cuba raih kemenangan di Spielberg,” ujar Hakim sebelum berlepas ke Austria.
Aksi di Red Bull Ring ini dijangka sengit, apatah lagi litar ini pernah menyaksikan pertarungan rapat antara pendahulu kejuaraan. Hakim Danish yang terkenal dengan gaya tunggangan berani, pastinya akan berusaha memanfaatkan setiap peluang di trek yang menuntut keseimbangan antara kelajuan dan kawalan.
Jadual Perlumbaan (Waktu Malaysia):
Race 1: Sabtu, 16 Ogos 2025 – 19:00 malam
Race 2: Ahad, 17 Ogos 2025 – 17:00 petang
Siaran Langsung:
Race 1 – Tonton di Red Bull TV
Race 2 – Tonton di Red Bull TV

The post Red Bull MotoGP Rookies Cup: Hakim Danish Fokus Hadapi Cabaran di Litar Ikonik Spielberg appeared first on TW Media.
