RedMagic 8S Pro guna cip lebih hebat dari Snapdragon 8 Gen 2, akan tiba bersama tablet gaming

Digital
22 Jun 2023 • 3:13 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Syarikat di sebalik jenama RedMagic, Nubia telah selamat melancarkan telefon gaming terbaru mereka pada Disember lalu iaitu RedMagic 8 Pro. Kini, sudah ada khabar mengatakan Nubia sedang dalam persiapan untuk melancarkan sekuel terbaru telefon gaming mereka yang dipanggil RedMagic 8S Pro. Perkara ini didedahkan oleh Digital Chat Station melalui akaun Weibonya.

image is not available

Berdasarkan apa yang dilaporkan, dipercayai telefon RedMagic 8S Pro akan dikuasakan cip flagship Qualcomm terbaru yang akan datang iaitu Snapdragon 8+ Gen 2. Kelihatan seperti RedMagic 8S Pro akan menjadi telefon pertama dipasang cip terbaru dan terhebat Qualcomm.

Laporan yang sama juga berkongsikan penanda aras RedMagic 8S Pro di AnTuTu. Menariknya, ia peroleh skor sebanyak 1,704,113 menjadikannya skor tertinggi yang pernah direkod untuk AnTuTu dalam segmen telefon pintar. Setakat ini, telefon Android yang memegang takhta prestasi tertinggi di AnTuTu adalah RedMagic 8 Pro+ dengan skor sebanyak 1,304,945.

Dalam masa yang sama, ia menunjukkan RedMagic 8S Pro peroleh skor CPU yang menakjubkan pada 436,089 dan GPU pula sebanyak 642,666. Sudah tentu membayangkan ia akan menjadi telefon pintar gaming paling berkuasa apabila ia dilancarkan.

Sementara itu, nampaknya RedMagic bukan sahaja dikatakan akan melancarkan telefon gaming, tapi akan sertai pasaran tablet dengan memperkenalkan tablet yang khas untuk gaming. Walaubagaimanapun, tiada maklumat lanjut yang tersedia buat masa ini.

Sungguhpun itu, masih kabur bila RedMagic 8S Pro akan dilancar untuk pasaran global, tapi untuk pasaran China dijangka akan dilancar secara rasmi pada 5 Julai 2023. Oleh itu, nantikan pelancarannya untuk maklumat lebih lanjut.

Spesifikasi Red Magic 8S Pro

Butiran lain berkenaan spesifikasi RedMagic 8S Pro masih terhad. Berdasarkan apa yang diperkata atas talian, ia akan menggunakan paparan AMOLED berukuran 6.8 inci pada resolusi HD Penuh 1116×2480 piksel dan kadar penyegaran 120Hz.

Di samping menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 2, telefon itu akan dilengkapi pilihan RAM LPDDR5x sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Selain itu, sistem baterinya berkapasiti 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas berwayar 170W .

Untuk bahagian kamera, ia akan menampilkan tetapan tiga kamera termasuk kamera utama 50MP, kamera ultralebar 8MP dan kamera makro 2MP. RedMagic 8S Pro akan menjalankan Red Magic OS 6 berasaskan Android 13.

[Sumber: Gizmochina / GSMArena]