Redmi 13C menjadi antara peranti yang menjadi bualan sejak kebelakangan ini. Kehadirannya juga sedia diacah secara langsung menerusi ciapan di Twitter, namun butiran mengenai spesifkasi masih menjadi persoalan utama. Pun begitu ia seakan menemui titik noktah apabila peranti mula disenaraikan lebih awal menerusi laman web Amazon.

Peranti dikatakan hadir dengan skrin IPS LCD sebesar 6.74-inci dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula standard. Ini digabung pula dengan cip MediaTek Helio G99, memori 4GB RAM dan storan 128GB. Bateri 5,000mAh disertakan boleh dicas semula menggunakan port USB-C dan sistem pengecasan 18W. Kamera utama 50MP + 2MP dan swafoto 5MP turut digunakan sebagai pelengkap peranti.

Melihat secara langsung sebahagian besar spesifikasi peranti adalah serupa dengan Poco C65 sebelum ini. Perbezaan pula sekadar pada cip pemproses dan sensor kamera swafoto. Pun begitu lebih baik sekiranya kita menunggu pelancaran rasmi kelak bagi melihat sejauh mana kebenaran maklumat tertiris.
