Redmi Note 12 diperkasa dua cip baharu Snapdragon pada harga patut

Digital
25 Mar 2023 • 7:07 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Subjenama Xiaomi, Redmi, telah melancarkan siri Redmi Note 12 dalam pasaran Eropah. Ia adalah penyambung kepada kejayaan Redmi Note 11 sebagai telefon harga patut yang menawarkan spesifikasi yang kukuh.

Di sana, terdapat 4 varian diperkenalkan iaitu:

  • Redmi Note 12 Pro+ 5G
  • Redmi Note 12 Pro 5G
  • Redmi Note 12 5G
  • Redmi Note 12

Artikel ini akan berkongsikan maklumat lanjut tentang Redmi Note 12 5G dan juga Redmi Note 12. Anda boleh baca tentang Redmi Note 12 Pro+ 5G dan Redmi Note 12 Pro dalam pautan di bawah.

Spesifikasi Redmi Note 12 5G

Redmi Note 12 5G adalah sebuah telefon sebesar 6.67". Ia ada panel paparan AMOLED dengan kadar segar semula setinggi 120Hz. Panel 120Hz seakan menjadi ruji kepada telefon 2023 walaupun dalam kelas mampu milik.

image is not available

Di bahagian kamera, Redmi Note 12 5G mengambil gambar menggunakan kamera utama 48MP. Ia juga ada kamera ultralebar 8MP dan satu kamera makro bersensor 2MP. Selfie diambil menggunakan kamera 13MP yang terletak dalam lubang yang ditebuk di dahi skrin.

image is not available

Atas papan utama, Redmi Note 12 5G diperkasa Snapdragon 4 Gen 1. Telefon ini adalah antara yang pertama menggayakan SoC baharu daripada Qualcomm. Ia adalah cip daripada keluarga 6nm dan mengandungi 8 teras berkelajuan sehingga 2GHz.

image is not available

Xiaomi menyertkaan tangki bateri berkapasiti 5,000mAh pada Redmi Note 12 5G bersama-sama sistem pengecasan pantas 33W untuk mengisi semula tenaga.

Antara ciri menarik pada telefon ini adalah seperti kehadiran jek audio 3.5mm, NFC, IR Blaster, dan sokongan dwi-5G sekaligus.

image is not available

Ada beberapa pilihan RAM dan storan boleh pengguna pertimbangkan sewaktu membelinya. Pilihan yang ditawarkan adalah 4+128, 6+128, dan 8+256.

Redmi Note 12 5G ditawarkan dalam Eropah pada harga bermula EUR299 (RM1,427).

Spesifikasi Redmi Note 12

Ini adalah satu-satunya Redmi Note 12 yang tiada sambungan 5G dalam kalangan yang dilancarkan. Telefon ini dipacu oleh cip Snapdragon 685. Ia juga adalah satu cip baharu yang secara asasnya sebuah Snapdragon 680 yang dinaikkan clockspeed. Antara telefon yang mengguna pakai Snapdragon 680 adalah seperti Redmi Note 11 dan Realme 9.

image is not available

Di bahagian muka, telefon ini ada panel yang sama dengan Note 12 5G iaitu skrin AMOLED 6.67" berkadar segar semual 120Hz.

Untuk mengambil gambar, telefon ini diberikan kamera 50MP (kamera utama), 8MP (kamera ultralebar), dan 2MP (kamera makro).

image is not available

Tangki 5,000mAh dan sistem pengecasan 33W memastikan segala komponen elektronik telefon ini menyala. Untuk kemudahan, Xiaomi turut menyediakan jek audio 3.5mm dan pemancar inframerah pada telefon ini.

image is not available

Konfigurasi RAM dan storan yang ditawarkan adalah 4+64, 4+128, 6+128, dan 8+128.

Redmi Note 12 ditawarkan dalam Eropah pada harga bermula EUR199 (RM950).