SHAH ALAM - redONE Mobile meneruskan komitmen mendekati masyarakat menerusi penganjuran program Barakah Korban sempena sambutan Aidiladha yang berlangsung di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.
Program tahunan Yayasan redONE yang berlangsung pada 27 Mei hingga 30 Mei itu merupakan inisiatif komuniti utama syarikat sejak tahun 2014 bagi memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan redONE Mobile, Farid Yunus berkata, program Barakah Korban merupakan usaha berterusan syarikat untuk terus dekat bersama komuniti yang menjadi antara tulang belakang kepada perkembangan jenama itu.
Menurutnya, ibadah korban bukan sekadar mengenai pengorbanan semata-mata, sebaliknya turut membawa nilai keikhlasan, empati dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
"Program seperti ini memberi peluang kepada kami untuk turun padang dan bersama komuniti yang sentiasa menyokong serta menjadi sebahagian penting daripada perjalanan redONE Mobile.
"Sebagai sebuah telco komuniti, kami percaya hubungan yang kuat dengan masyarakat perlu dibina secara berterusan dan bukan hanya pada waktu tertentu sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau memaklumkan, pelaksanaan program tersebut turut melibatkan kakitangan, rakan niaga redONE Mobile, ahli jawatankuasa masjid serta penduduk setempat dalam aktiviti penyembelihan, penyediaan dan pengagihan daging korban kepada golongan memerlukan.
Antara lokasi pelaksanaan Barakah Korban ialah Surau Haji Mubin, Kuantan dan Masjid Felda Kota Gelanggi 2 di Jerantut, Pahang selain Masjid Kampung Renek di Besut serta Masjid Seberang Takir di Kuala Nerus, Terengganu.
Program sama turut diadakan di Masjid Mukim Bunohan, Tumpat dan Masjid Mukim Tanjong Chat, Kota Bharu, Kelantan serta Masjid Al-Ba’ari, Taman Ketiau di Sabah.
Farid memaklumkan, redONE Mobile turut meneruskan pelbagai inisiatif komuniti lain sepanjang tahun menerusi Yayasan redONE termasuk program Colours of Ramadan yang memberi fokus kepada kebajikan anak yatim.
Menerusi program berkenaan, syarikat itu menyalurkan sumbangan kelengkapan pembelajaran serta penambahbaikan ruang pembelajaran di Pusat Jagaan Mesra As Salam, Bandar Bukit Puchong.
"redONE Mobile turut melaksanakan inisiatif Ronda Bazaar Ramadan di beberapa negeri bagi membantu meningkatkan keterlihatan peniaga mikro tempatan.
"Pada masa sama, inisiatif redINFAQ diperluaskan melalui kerjasama bersama pempengaruh makanan di TikTok bagi membantu mempromosikan peniaga bazar Ramadan selain menyalurkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan di beberapa negeri," ujarnya.






