Hikmah gotong-royong, 17 haiwan korban selesai empat jam

29 May 2026 • 1:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hikmah gotong-royong, 17 haiwan korban selesai empat jam
Seramai 150 petugas dalam kalangan masyarakat setempat terlibat dalam program ibadah korban di Masjid Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam, Ipoh pada Khamis.

IPOH - Hanya dalam tempoh empat jam, sebanyak 17 haiwan korban berjaya disempurnakan dalam program ibadah korban di Masjid Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam di sini pada Khamis.

Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu menyaksikan proses penyembelihan dan pengurusan korban berjalan lancar dalam gotong-royong sebelum pengagihan daging kepada penerima dimulakan sekitar jam 11 pagi.

Sebanyak 16 ekor lembu dan seekor kerbau dikorbankan dalam program berkenaan dengan salah satu daripadanya merupakan sumbangan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid, Mohd Daelami Osman berkata, hampir 150 petugas dalam kalangan masyarakat setempat terlibat bagi memastikan kelancaran program.

"Petugas dibahagikan kepada beberapa kumpulan bermula penjagaan haiwan korban, melapah daging, memotong tulang, menimbang serta pengagihan.

“Secara keseluruhan sebanyak 2,000 kilogram daging diperoleh dan kira-kira 1,800 kupon diagihkan kepada ahli kariah.

“Kita juga menetapkan supaya keseluruhan proses ibadah korban diselesaikan sebelum masuk waktu Zuhur,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, penglibatan golongan muda termasuk kanak-kanak turut membantu kelancaran program selain bagi memastikan kesinambungan ibadah korban pada masa hadapan.

Dalam suasana gotong-royong itu, keterujaan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Muhammad Aqif Muhammad Rusydi mencuri perhatian apabila aktif membantu petugas sepanjang program berlangsung.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Seri Ampang itu berkata, dia gembira dapat merasai sendiri pengalaman terlibat dalam ibadah korban bersama ahli keluarga dan masyarakat setempat.

“Saya berasa seronok dapat pegang lembu dari dekat dan bantu angkat daging korban menggunakan gerobak sorong.

“Saya juga tak takut tengok darah dan memang mahu ikut ayah sertai program ini,” katanya.