
KETAMPANAN pelakon Redza Minhat menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu.
Terkenal menerusi filem KIL dan Pisau Cukur, pemilik nama Shahredza Minhat agak jarang kelihatan di kaca televisyen mahupun layar perak.
Rupa-rupanya, kehilangan dia dalam dunia seni ada 'sebab' yang sangat kukuh.
Baru-baru ini, nama Redza kembali menjadi bualan hangat netizen di aplikasi Threads selepas profil LinkedIn miliknya tular. Ramai yang meluahkan rasa terkejut dan kagum apabila mengetahui kerjaya sebenar pelakon berusia 46 tahun ini di luar industri hiburan.
"Aku terkejut bila dapat tahu lelaki ni kerja dekat mana sekarang," kongsi salah seorang pengguna media sosial.
Menerusi tangkap layar profil profesionalnya yang tersebar, Redza dipercayai kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Deputy Director) di Bank Negara Malaysia (BNM).

Pencapaian pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) University of Oxford dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan Universiti Multimedia Malaysia ini terus dihujani pelbagai reaksi positif daripada netizen.
Rata-ratanya memuji kebijaksanaan Redza yang mampu mengimbangi antara minat dalam dunia seni dan juga kerjaya profesional yang mencabar.
"Redza Minhat ni dahsyat juga orangnya. Antara pelakon yang sangat cerdik. Jawatan dia sekarang pun bukan calang-calang. Patutlah dah lama tak nampak dia berlakon," tulis seorang netizen.
"Love his work so much. Guna dua-dua otak. Seni pun ya, kira-kira pun ya. Dahlah handsome, kerja bagus pula tu," puji seorang lagi pengguna yang pernah bertemunya di sebuah persidangan kewangan.
Bukan itu sahaja, latar belakang pendidikan Redza turut mencuri perhatian apabila dia disahkan merupakan alumni salah sebuah sekolah berasrama penuh elit iaitu Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Malah, netizen turut berkongsi kehebatan Redza dan rakan seperjuangannya, Bront Palarae (alumni Sultan Abdul Hamid College) sebagai bukti bahawa anak seni tempatan juga memiliki latar belakang akademik yang hebat.
Redza muncul di sebagai penerbit bersama untuk filem Imaginur dan memenangi Filem Terbaik dan mengungguli enam kategori lain di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 pada 2023.
Memang terbaik dan boleh dijadikan inspirasi!



