REE: Pemindahan teknologi Malaysia, Perancis perlu ada KPI

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 8:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: REE: Pemindahan teknologi Malaysia, Perancis perlu ada KPI

PETALING JAYA: Kerjasama pembangunan industri nadir bumi antara Malaysia dan Perancis perlu disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) pemindahan teknologi yang jelas, berperingkat serta boleh diaudit secara bebas.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim berkata, pe­netapan sasaran penglibatan tempatan berdasarkan angka tertentu sahaja tidak mencukupi.

Lebih-lebih lagi katanya, jika perkara itu tidak disusuli pemindahan kepakaran dalam jawatan teknikal dan pe­ngurusan peringkat tinggi.

Katanya, jika jawatan penting seperti jurutera proses kanan, pengurus loji dan penyelidik masih dikuasai tenaga kerja asing matlamat pemindahan teknologi adalah sukar dicapai.

“Jika yang dimaksudkan ialah tenaga kerja, sasaran 80 peratus warganegara ke atas adalah realistik dan sepatutnya menjadi syarat minimum. Persoalan sebenarnya ialah jawatan apa yang dipegang rakyat tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika sasaran pada angka tertentu seperti 80 peratus itu merujuk kepada pemilikan ekuiti, tuntutan pegangan tempatan pada kadar tersebut pula berisiko menyebabkan pemilik teknologi menarik diri kerana mahu melindungi harta intelek mereka.

Sehubungan itu, pendekatan lebih praktikal adalah memastikan kawalan negara terhadap sumber melalui syarat lesen, saham khas atau pemilikan majoriti pada peringkat perlombongan, selain memberi ruang kepada rakan teknologi dalam aktiviti pemprosesan.

Dalam pada itu, Syed Fuad berkata, kejayaan kerjasama berkenaan juga perlu diukur berdasarkan keupayaan Malaysia memperluas rantaian nilai industri nadir bumi bukan sekadar melaksanakan proses pengasi­ngan bahan mentah.

Katanya, berdasarkan perancangan semasa, proses pengasi­ngan akan dilakukan di Malaysia, manakala penghasilan oksida akhir, logam dan magnet dilaksanakan di Perancis.

“Jika kita berhenti di peringkat pengasingan, kita kekal sebagai pembekal bahan perantaraan.

“Rundingan seterusnya wajar menyasarkan sekurang-kurang­nya penghasilan oksida tulen, dan seterusnya logam atau magnet, di dalam negara,” katanya.-UTUSAN.

The post REE: Pemindahan teknologi Malaysia, Perancis perlu ada KPI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved