Refleksi Kepimpinan: Sebuah Perjalanan Membina Nilai, Bukan Sekadar Pengiktirafan

OpinionBusiness & Finance
6 May 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Refleksi Kepimpinan: Sebuah Perjalanan Membina Nilai, Bukan Sekadar Pengiktirafan Image from: Refleksi Kepimpinan: Sebuah Perjalanan Membina Nilai, Bukan Sekadar Pengiktirafan johardy06/05/2026 - 07:00 Tn Hj Ariffin Sabirin menerima anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) di sambutan Hari Pekerja 2026 pada 1 Mei 2026 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com

Apabila saya diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) di Sambutan Hari Pekerja 2026 pada 1 Mei 2026, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya bukanlah pengiktirafan itu.

 

Sebaliknya, saya terkenang perjalanan panjang selama 22 tahun yang penuh dengan cabaran, pengorbanan, jatuh bangun dan proses pembelajaran yang tidak pernah berhenti dalam membina Wasiyyah.

 

Hakikatnya, saya tidak pernah memimpin dengan niat untuk mengejar anugerah. Saya memimpin kerana saya percaya bahawa kerja itu adalah ibadah, organisasi adalah medan membina dan menyumbang kepada manusia, serta kepimpinan itu ialah tanggungjawab moral yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

 

Pada saat pemimpin korporat lain bangga dengan pujaan massa dan nilai kekayaan individu yang dikumpul, saya cukup bahagia hanya dengan sekadar melihat betapa kerja saya telah memberi manfaat kepada manusia lain. Melihat bagaimana Wasiyyah membantu harta pusaka dinikmati oleh waris, balu, anak yatim dan waris yang berhak dalam kadar yang cepat, kaedah yang tepat mengikut hukum syarak, pada kos yang hampir kosong.

 

Sepanjang perjalanan memimpin organisasi, saya belajar bahawa kepimpinan sebenar bukan tentang siapa yang paling pandai bercakap atau paling bergaya, tetapi siapa yang paling tepat tindakannya dan mampu menjaga kepentingan semua pemegang taruh dengan ikhlas.

 

Saya memulakan perjalanan membina organisasi dalam keadaan serba kekurangan, tanpa sumber kewangan yang besar, tanpa sokongan kerajaan atau mana-mana individu berpengaruh, tanpa sistem yang canggih dan tanpa reputasi yang diyakini.

 

Apa yang Wasiyyah miliki 22 tahun lalu hanyalah keyakinan kepada visi dan kepercayaan bahawa kerana apa yang kami lakukan ini ialah satu ibadah, Allah SWT akan membantu kami sepanjang perjalanan ini. Alhamdulillah, itulah yang telah dan sedang berlaku.


 

solar

 

Nilai organisasi itu refleksi jiwa pemimpinnya

Saya percaya bahawa nilai yang dipegang oleh sesebuah organisasi ialah refleksi sebenar kepada jiwa pemimpinnya.

 

Jika pemimpin itu bobrok akhlaknya, organisasi akan sentiasa bergelumang dengan krisis moral. Jika pemimpinnya tamak dan suka memanipulasi orang lain, keseluruhan organisasi akan menjadi rakus dan menindas. Jika pemimpin tenang, berprinsip dan berintegriti, organisasi akan utuh dengan reputasi yang sukar digoncang serta disegani kawan dan lawan.

 

Atas kepercayaan itu, saya sentiasa berusaha membina organisasi yang berasaskan nilai, bukan semata-mata keuntungan. Keuntungan penting untuk kelangsungan syarikat, tetapi nilai menentukan keberkatan, kelangsungan organisasi dan manfaatnya kepada masyarakat.

 

Banyak organisasi mampu menjadi besar sehingga disenaraikan di Bursa, disegani di mata kasar, tetapi kehilangan roh dan prinsip serta gagal memberi makna kepada masyarakat.

 

Kepimpinan melalui teladan

Saya juga belajar bahawa manusia tidak boleh dipimpin hanya dengan kata-kata. Manusia dipimpin melalui teladan oleh pemimpinnya.

 

Apabila ahli organisasi memahami bahawa pekerjaan mereka mempunyai nilai kepada masyarakat dan memberi manfaat kepada kehidupan orang lain, mereka akan bekerja dengan jiwa, bukan sekadar tenaga.

 

Apabila ahli organisasi melihat pemimpinnya mengotakan apa yang disebut, menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi, mereka akan menduplikasi jejak yang dirintis pemimpin tersebut.

 

Oleh itu, pemimpin tiada jalan pintas. Dia mesti “walk the talk” dan berpegang teguh kepada apa yang disampaikan kepada ahli organisasi.

 

Penilaian prestasi yang bersifat holistik

Dalam dunia korporat hari ini, penilaian prestasi ahli organisasi sering dibuat melalui angka semata-mata, berapa keuntungan dan penjimatan kos yang dicapai.

 

Namun saya percaya mereka ialah manusia yang mempunyai emosi. Seorang ahli organisasi yang seimbang antara prestasi kerja, ketenangan jiwa dan keluarga yang bahagia akan menghasilkan produktiviti yang lebih baik.

 

Atas sebab itu, saya banyak memberi perhatian kepada mewujudkan ekosistem kerja yang kondusif. Saya sangat menitikberatkan pencapaian objektif maqasid syariah di Wasiyyah.

 

Ahli organisasi Wasiyyah yang mendapat penilaian prestasi terbaik bukan sahaja diukur dari segi produktiviti kerja hakiki, malah semangat kerja berpasukan, sifat tawaduk, keterbukaan menerima kritikan, hormat-menghormati, penglibatan dalam aktiviti di luar skop kerja, serta kesihatan fizikal, emosi dan spiritual.

 

Mereka perlu seimbang dari semua konteks maqasid syariah bagi diiktiraf sebagai yang terbaik dan menerima ganjaran yang setimpal. Wasiyyah memberi imbuhan kepada ahli organisasinya yang seimbang dari dalam dan luar.


 

solar

 


Pemimpin perlu ketenangan berfikir dan bertindak

Saya melalui pelbagai krisis besar sepanjang memimpin organisasi. Krisis ekonomi subprima, pandemik COVID-19, ketidaktentuan ekonomi global dan kini konflik geopolitik dunia memberi tekanan yang sangat besar kepada banyak organisasi termasuk Wasiyyah.

 

Saya percaya antara kekuatan terbesar seorang pemimpin ialah kemampuan mengawal emosi ketika tekanan.

 

Pemimpin mesti berkebolehan berfikir dengan tenang bagi melihat sesuatu cabaran dalam konteks yang lebih menyeluruh serta mencapai penyelesaian tuntas.

 

Ketenangan berfikir dan bertindak ini ialah nilai yang perlu dibina seorang pemimpin dan dipupuk dalam organisasinya. Kepimpinan bukan diuji ketika keadaan stabil, tetapi ketika keadaan tidak menentu.

 

Membina pelapis

Sepanjang perjalanan ini juga saya semakin memahami bahawa kepimpinan bukan tentang membina diri sendiri semata-mata, tetapi membina pelapis.

 

Kegagalan terbesar seorang pemimpin ialah apabila organisasi menjadi terlalu bergantung kepada dirinya. Pemimpin yang baik membina sistem kerja dan pemimpin pelapis lain yang mampu menggantikannya.

 

Saya sentiasa percaya bahawa kejayaan organisasi tidak boleh bergantung kepada seorang individu sahaja.

 

Organisasi yang sihat ialah organisasi yang mempunyai nilai ilmu, nilai amanah dan nilai kepimpinan di semua peringkat.

 

Kejayaan milik pasukan, bukan peribadi

Anugerah yang saya terima hari ini sebenarnya bukan milik saya seorang. Ia milik seluruh pasukan yang bekerja bersama-sama selama ini, daripada lembaga pengarah, panel syariah, pasukan pengurusan, ahli organisasi termasuk daie Wasiyyah sendiri.

 

Semuanya memainkan peranan menuju matlamat yang sama, iaitu untuk membantu umat Islam merancang dan mengurus harta mengikut kaedah syariah.

 

Saya juga banyak belajar bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin penting untuk dia kekal merendah diri. Tiada siapa suka pemimpin yang angkuh dan sombong. Kedudukan hanyalah pinjaman, jawatan hanyalah sementara. Apa yang kekal ialah bagaimana kita menyentuh kehidupan manusia sepanjang perjalanan itu.

 

Bagi saya, kejayaan sebenar bukan sekadar membina organisasi yang besar, tetapi membina organisasi yang memberi manfaat kepada manusia. Bukan sekadar menghasilkan keuntungan, tetapi menghasilkan ketenangan. Bukan sekadar mencipta pekerja yang cekap, tetapi manusia yang lebih baik selaras maqasid syariah.

 

Sebab itu saya sentiasa kembali kepada prinsip bahawa kepimpinan ialah perjalanan spiritual sebelum ia menjadi perjalanan korporat. Pemimpin perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan Tuhan supaya dia tidak kehilangan arah apabila berhadapan dengan kuasa, wang dan pengaruh.


 

solar

 


Akhirnya, saya melihat Anugerah Tokoh Pekerja Negara 2026 ini sebagai satu peringatan bahawa kerja yang dilakukan dengan ikhlas akan sentiasa berjaya mencipta nilainya yang unik dan tersendiri walaupun mengambil masa yang panjang. Ia juga mengingatkan saya bahawa kepimpinan bukan tentang menjadi orang paling hebat, tetapi menjadi orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

 

Jika ada satu perkara yang benar-benar saya pelajari sepanjang perjalanan ini, ia adalah hakikat bahawa manusia mungkin akan lupa apa yang kita katakan, tetapi mereka tidak akan lupa bagaimana kita membuat mereka rasa dihargai, dihormati dan dibimbing. - DagangNews.com

 

Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

Kolumnis Terkini standard