Bekas banduan antara penerima Anugerah Tokoh Pekerja Selangor 2026

4 May 2026 • 5:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bekas banduan antara penerima Anugerah Tokoh Pekerja Selangor 2026

SHAH ALAM, 4 MEI: Bekas banduan antara tujuh individu yang menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negeri Selangor sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Penerima berkenaan, Deva Celan a/l Shadzan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengurus Gerbang Alaf Restoran Sdn Bhd, menerima anugerah bagi kategori eksekutif sektor swasta.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pekerja restoran makanan segera di Bandar Puteri sebelum berjaya memperoleh diploma yang membantu meningkatkan peluang kenaikan pangkat.

Image from: Bekas banduan antara penerima Anugerah Tokoh Pekerja Selangor 2026
Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negeri Selangor 2026 Tokoh Pekerja (Bukan Eksekutif) Deva Celan A/L Shadzan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Deva berkata, beliau tidak menyangka terpilih menerima anugerah tersebut dan menganggapnya sebagai dorongan untuk terus memperbaiki diri.

“Sokongan Jabatan Penjara Malaysia, McDonald Malaysia dan keluarga banyak membantu dalam perubahan kehidupan yang lebih baik,” katanya ditemui selepas perasmian di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.

Mengulas lanjut, Deva turut menitipkan pesanan kepada bekas banduan lain agar tidak mensia-siakan peluang kedua yang diberikan.

Sementara itu, penerima kategori perkhidmatan awam pusat pelaksana, Nurliana Zaimon dari Jabatan Kehakiman Syariah Selangor berkata beliau tidak menyangka menerima anugerah selepas hampir 21 tahun berkhidmat.

Menurutnya, cabaran dalam kerjaya bukan mudah terutama dalam institusi kehakiman yang berdepan peningkatan kes saban tahun.

“Setiap tahun ada cabaran tersendiri terutamanya dari segi mahkamah sebagai sebuah institusi kehakiman dan perundangan syariah yang menyaksikan penambahan kes,” jelasnya.

Dalam pada itu, penerima kategori perkhidmatan awam kelainan upaya, Norita Mahmud dari Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hulu Langat menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima.

Norita turut menekankan kepentingan keikhlasan serta kerjasama dalam mewujudkan suasana kerja yang positif.

“Bekerja perlu ikhlas serta bekerjasama dengan kakitangan lain supaya suasana bekerja jadi lebih seronok,” katanya.

Image from: Bekas banduan antara penerima Anugerah Tokoh Pekerja Selangor 2026
Penerima Tokoh Pekerja (Kelainan Upaya) Norita Mahmod (kiri) dan Tokoh Pekerja (Kumpulan Pelaksana) Norliana Zaimon menerima anugerah dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR