
KUALA LUMPUR: Reformasi fiskal dan pengukuhan institusi negara perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan pengurusan kewangan awam kekal berdisiplin, telus dan bertanggungjawab tanpa dipengaruhi perubahan kepimpinan kerajaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembaharuan itu penting bagi mengelakkan negara mengulangi kelemahan pengurusan terdahulu, selain memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat.
Beliau berkata, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 mewajibkan Menteri Kewangan bertanggungjawab kepada Parlimen berhubung perancangan fiskal jangka sederhana, termasuk sasaran mengurangkan defisit dan hutang negara.
Selain itu, katanya, kelulusan Akta Perolehan Kerajaan 2026 oleh Parlimen akan memperkukuh ketelusan dalam proses perolehan awam apabila dilaksanakan, termasuk memastikan keputusan berkaitan kontrak kerajaan melalui penelitian yang lebih jelas serta menyediakan saluran semakan.
“Akauntabiliti mesti sampai ke peringkat tertinggi Kementerian Kewangan. Ia tidak boleh bergantung kepada siapa yang memegang jawatan,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah di sini, semalam.
Menurutnya, meskipun tiada undang-undang yang mampu menjamin kerajaan pada masa depan tidak melakukan kesilapan, mekanisme perlindungan yang kukuh dapat mengurangkan risiko pembaziran dan penyalahgunaan kuasa berulang.
Katanya, mekanisme itu juga membolehkan Parlimen dan rakyat menuntut penjelasan, sekali gus memastikan agenda reformasi dapat diteruskan melangkaui perubahan kitaran politik.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan menjadi teras kepada Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada pembentukan ekonomi bernilai tinggi, penyediaan pekerjaan lebih baik serta peningkatan keupayaan tempatan.
Usaha itu turut bertujuan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara lebih menyeluruh, selain membina asas ekonomi negara yang lebih kukuh untuk jangka panjang.
“Matlamat kerajaan bukan sekadar mencatat prestasi ekonomi lebih baik pada tahun depan, tetapi membina asas pertumbuhan yang lebih kukuh untuk jangka panjang,” katanya.
Amir Hamzah berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa aspirasi pembangunan negara tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa institusi yang kukuh dan kesungguhan menangani kelemahan struktur ekonomi.
Jelasnya, kemerosotan produktiviti, ketirisan sumber awam dan kelemahan tadbir urus dalam mengikuti perubahan ekonomi bukan sahaja memberi kesan kepada generasi semasa, malah turut meningkatkan beban generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, reformasi subsidi bahan api merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan menerusi pengurangan ketirisan dan penyeludupan.
Katanya, pelaksanaan subsidi bersasar turut memberikan ruang fiskal kepada kerajaan untuk melindungi isi rumah apabila berdepan kenaikan mendadak harga minyak susulan konflik di luar negara.
“Bayangkan jika kita terpaksa menghadapi kejutan yang sama tanpa terlebih dahulu menangani ketirisan dalam sistem lama. Kita akan mempunyai pilihan yang jauh lebih terhad ketika rakyat Malaysia paling memerlukannya.
“Inilah nilai reformasi yang dilaksanakan sebelum krisis memaksa kita bertindak,” katanya. – UTUSAN
The post Reformasi fiskal penting elak kelemahan lampau berulang appeared first on Utusan Malaysia.






