
PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi penekanan lebih besar terhadap reformasi struktur ekonomi, pengukuhan tadbir urus korporat dan pembangunan industri strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan.
Presiden Dewan Perniagaan Ekonomi Strategik Malaysia (DPESM), Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, kebergantungan berlebihan terhadap bantuan kewangan jangka pendek tidak mencukupi untuk membawa Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi sekiranya isu asas seperti kadar upah rendah, produktiviti dan daya saing perniagaan tidak ditangani.
Beliau berkata, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027, meningkat daripada RM15 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan membantu isi rumah menghadapi tekanan kos sara hidup.
Bagaimanapun, katanya, bantuan kewangan perlu disokong pembaharuan ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan dalam jangka panjang.
“Walaupun bantuan kewangan diperlukan untuk melindungi rakyat Malaysia yang terdedah kepada kesukaran ekonomi, kita tidak boleh membina sebuah negara berpendapatan tinggi hanya melalui pemberian bantuan.
“Kerajaan perlu menangani persoalan mengapa kadar upah masih tertekan, mengapa perniagaan bergelut untuk bersaing dan mengapa begitu ramai rakyat Malaysia masih bergantung kepada bantuan kewangan untuk memenuhi keperluan asas mereka,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, DPESM turut menekankan keperluan memperkukuh tadbir urus korporat, kebebasan badan pengawal selia dan penguatkuasaan undang-undang susulan kontroversi berkaitan dakwaan kegiatan mafia korporat.
Syed Azaudin berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman kerajaan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan berkenaan, namun mempersoalkan keperluan menubuhkan badan baharu sedangkan agensi penguatkuasaan sedia ada sepatutnya memainkan peranan sewajarnya.
“Integriti ekosistem korporat merupakan asas penting untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membangunkan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
“Antara kelemahan struktur ekonomi yang perlu diberi perhatian termasuk pertumbuhan upah yang perlahan, produktiviti rendah, kebergantungan berlebihan terhadap tenaga kerja asing, ketidakcekapan birokrasi, peningkatan kos operasi serta keterbatasan keupayaan teknologi domestik,” katanya.
Justeru, katanya, keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan bantuan segera yang disediakan, tetapi juga sejauh mana langkah berkenaan mampu mempercepat transformasi ekonomi negara.
“Bantuan tunai membantu rakyat menghadapi masalah hari ini. Reformasi struktur menentukan sama ada masalah yang sama akan terus berulang pada masa hadapan,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh daya saing negara, DPESM turut menggesa kerajaan menghidupkan semula aspirasi membangunkan syarikat gergasi nasional yang mampu menerajui industri strategik dan menembusi pasaran antarabangsa.
Syed Azaudin berkata, kejayaan Petronas sebagai syarikat tenaga bersepadu bertaraf global, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai institusi pelaburan nasional serta DRB-HICOM dalam sektor automotif, pertahanan dan perindustrian membuktikan kepentingan visi jangka panjang dalam pembangunan keupayaan domestik.
Beliau turut merujuk pembangunan Menara Berkembar Petronas dan Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC), Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Koridor Raya Multimedia (MSC) sebagai antara contoh aspirasi pembangunan negara yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi global.
Tambahnya, projek berkenaan bukan sekadar pencapaian infrastruktur, sebaliknya mencerminkan usaha membangunkan keupayaan tempatan, menarik pelaburan antarabangsa dan meningkatkan daya saing negara. – UTUSAN
The post Reformasi struktur ekonomi, bukan sekadar bantuan tunai appeared first on Utusan Malaysia.






