
KOTA BHARU: Kerjasama strategik empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau State Government 4 (SG4) dilihat membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pembangunan ekonomi, sekali gus memperkenalkan potensi Kelantan ke peringkat antarabangsa.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kerjasama erat itu berupaya mengangkat kekuatan serta potensi setiap negeri bagi mewujudkan masa depan ekonomi yang lebih baik.
Katanya, kehadiran diplomat, delegasi serta wakil syarikat dari luar negara pada forum itu turut membuka ruang untuk memperkenalkan potensi ekonomi Kelantan dan negeri-negeri SG4 kepada masyarakat antarabangsa.
“Pendedahan berkenaan diharap dapat menarik minat pelabur untuk meneroka pelbagai peluang yang tersedia di wilayah berkenaan. Insya-Allah, Kerajaan Kelantan akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi menuju Kelantan Sejahtera 2033,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, SG4 berpotensi muncul sebagai kuasa ekonomi baharu negara menerusi gabungan sumber, keluasan wilayah dan kekuatan penduduk.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gabungan kerajaan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis itu disifatkan sebagai ‘gergasi tidur’ yang mampu berkembang menjadi zon ekonomi produktif sekiranya segala potensi dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata, SG4 mempunyai lebih 5.7 juta penduduk dan keluasan tanah melebihi 38,000 kilometer persegi, sekali gus menyediakan asas untuk memperluas kegiatan ekonomi melalui kerjasama antara negeri.-UTUSAN
The post SG4 bawa potensi ekonomi Kelantan ke mata dunia appeared first on Utusan Malaysia.






