Regu ketiga selamatkan Malaysia

25 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Regu ketiga selamatkan Malaysia

PETALING JAYA: Ketenangan mengawal permainan serta keberanian memperlahankan rentak lawan menjadi ramuan penting kebangkitan Malaysia untuk menyingkirkan Indonesia dan mara ke final acara regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Pemain apit kiri negara, Amirul Zazwan Amir berkata, perubahan momentum bermula ketika Malaysia ketinggalan 5-11 pada set kedua selepas mereka bergelut mencari rentak pada set pembukaan.

“Detik pengubah sebenarnya pada set kedua, daripada mata 11-5 ke 11-6. Kami mula bangkit dan saya cakap kepada kawan-kawan supaya jangan terlalu fikir mengenai mata kerana ia boleh menyebabkan kita tertekan.

“Pada set pertama, kami terlalu menjaga permainan dan gagal memberikan tekanan. Servis, setting dan hadangan juga tidak menjadi.

“Tetapi pada pertengahan set kedua, saya minta mereka bermain sahaja dan jangan terlalu fikir mengenai mata. Alhamdulillah, rezeki kami untuk bangkit memenangi set kedua dan set penentuan,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia sekali lagi berdepan tekanan pada set penentuan apabila beberapa kelebihan mata yang diraih berjaya dipadamkan Indonesia, memaksa regu negara mengubah pendekatan bagi mengekang momentum lawan.

“Kami mendahului tiga atau empat kali, tetapi setiap kali kami dapat satu mata, mereka akan mengejar.

“Jadi saya cakap kepada rakan-rakan supaya ambil masa kerana kalau perkara itu berlaku lima atau enam kali, kami boleh pula ketinggalan.Kami cuba pecahkan rentak mereka dan Alhamdulillah taktikal itu menjadi,” katanya.

Pendekatan tersebut akhirnya membolehkan Malaysia mengekalkan kawalan pada penghujung set penentuan untuk memastikan tiket ke final berada dalam genggaman.

Malaysia kini berdepan juara bertahan Thailand pada final hari ini dengan misi menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan di pentas Sukan Asia. – UTUSAN

The post Regu ketiga selamatkan Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved