Rekaan Antaramuka Android Baharu Material 3 Expressive Tertiris

TechnologyDigital
6 May 2025 • 11:59 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Google secara tidak sengaja telah meniriskan rekaan antaramuka Android seterusnya yang diberi nama Material 3 Expressive. Ini akan menjadi iterasi ketiga Material Design yang diperkenalkan pada tahun 2014 dan akan membawakan beberapa perubahan kepada Material You yang diperkenalkan pada tahun 2018 menerusi Android 12.

image is not available

Laman ini sudahpun dipadam tetapi ia berjaya disedari oleh 9to5Google. Material 3 Expressive dibangunkan hasil kajian Google yang melakukan 46 kajian, melibatkan ratusan rekaan yang disertai lebih 18,000 peserta.

image is not available

Hala tuju rekaan ini ialah untuk tidak lagi menggunakan rekaan yang “bersih” tetapi membosankan seperti yang digunakan sekarang. Peserta kajian didapati lebih menyukai antaramuka yang boleh memberikan emosi dan lebih ekspresif. Oleh itu Material 3 Expressive menggunakan warna dan bentuk yang lebih besar serta jelas.

Dengan ini elemen antaramuka akan dapat menarik perhatian pengguna dengan lebih baik. Hasilnya pengguna dapat menemukan elemen antaramuka yang ingin digunakan empat kali ganda lebih pantas. Ini dapat dilihat menerusi contoh di bawah untuk aplikasi emel. Pelbagai ciri yang boleh digunakan dipaparkan dengan cukup jelas.

image is not available

Sekilas pandang ia adalah seperti gabungan elemen antaramuka iOS 18 dan Nothing OS yang menggunakan elemen antaramuka yang lebih besar serta jelas. Maklumat lebih lanjut mengenai Material 3 Expressive pastinya akan dikongsi ketika acara Google I/O yang berlangsung 20 hingga 21 Mei ini.