
PETALING JAYA – Merekrut remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur sebelum mengeksploitasi mereka untuk aktiviti pelacuran.
Itu antara modus operandi Geng Yunna yang berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Angel dari 24 hingga 26 September lalu di sekitar Lembah Klang.
Kumpulan jenayah terancang itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak awal 2024, dengan menjadikan golongan rentan sebagai mangsa demi mengaut keuntungan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan aplikasi Telegram untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran dan mendapatkan pelanggan.
Menurutnya, kegiatan itu dianggarkan melibatkan 20 hingga 30 individu yang ditawarkan setiap hari, manakala pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung pada pakej dan lokasi.
“Sindiket ini dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dengan kutipan RM150 bagi setiap pelanggan, sekali gus menjana pendapatan dianggarkan RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan.
“Ia turut melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak bawah umur yang boleh meninggalkan kesan trauma psikologi berpanjangan serta menjejaskan perkembangan emosi dan sosial mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi berkenaan, Kumar berkata, polis menahan tujuh suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun.
“Dua lagi ahli kumpulan dilaporkan sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan berkaitan pemerdagangan kanak-kanak dan kes pelacuran.
“Geng Yunna yang mempunyai 10 ahli itu dikenal pasti terlibat dalam 17 kes jenayah pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seksual,” ujarnya.
Kumar berkata, polis turut merampas 14 telefon bimbit, 33 kotak kondom pelbagai jenama, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
Katanya, semakan mendapati beberapa suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk jenayah pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan.
“Polis turut mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan suspek berkenaan sedang giat dijalankan,” jelasnya.
Menurut Kumar, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara yang bersetuju supaya ahli kumpulan itu dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, pertuduhan terhadap sembilan ahli Geng Yunna dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok. – KOSMO! ONLINE
The post Rekrut kanak-kanak untuk pelacuran, ahli Geng Yunna dituduh esok appeared first on Kosmo Online.




