Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui dalam agama Islam, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab menikahkan anak perempuan.
Namun tidak semua pengantin berpeluang dinikahkan oleh bapa sendiri atas sebab tertentu.
Ada yang menggunakan wali hakim atau ahli keluarga berusia yang layak menjalankan tanggungjawab tersebut.
Remaja 14 Tahun Jadi Wali Nikahkan Kakak Sebapa Di Hari Bahagia
Namun berbeza dengan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ini yang dikenali sebagai Muhammad Naufal apabila usia semuda itu telah menggalas tanggungjawab menjadi wali kakaknya, Fairuz Husna.
Perkara itu dikongsikan oleh kakak mereka, Fatin Husna di Threads.
“Di usia 14 tahun, adik lelaki bongsu yang nikahkan kakak bongsu walau rahim berbeza.
“Walau sekecil itu usianya tetapi besar tanggungjawab yang dia pikul ketika ini. Momen yang akan dikenang sampai bila-bila,” tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Fatin Husna turut berkongsi video memaparkan detik bersejarah ketika Naufal mewalikan Fairuz Husna.
Dalam video tersebut, kadi dari pejabat agama yang berada di sebelah Naufal pada majlis akad nikah itu turut berseloroh dan mengatakan bahawa Naufal telah mencipta rekod kerana menjadi yang termuda menikahkan kakak sebapanya itu.
“Ini kalau berjaya ini, World Genius Record. 14 tahun, yang ada dekat ustaz 16 tahun je. Masya-Allah tabarakallah,” kata kadi itu.
Menerusi hantaran itu juga, kelihatan kadi berkenaan memberi panduan kepada Naufal sebelum dia meneruskan proses ijab kabul berkenaan.
Bapa Merupakan Seorang Mualaf, Telah Meninggal Dunia Pada Tahun 2021
Kongsi Fatin Husna kepada BuzzKini, bapa mereka yang merupakan seorang mualaf telahpun meninggal dunia pada tahun 2021.
Oleh kerana itu, adik perempuannya memilih Naufal menjadi wali di hari pernikahan tersebut.
Manakala, dia sebelum ini menggunakan khidmat wali hakim dek kerana adik lelakinya itu masih belum memenuhi syarat yang ditetapkan untuk menjadi wali.
Kongsi Fatin Husna lagi, Naufal berasa teruja malah gembira ketika ditemu bual di Pejabat Agama sebaik mengetahui bakal mendapat pengalaman pertama sebagai wali.
Ramai Tersentuh Lihat Anak Muda Jadi Wali
Perkongsian yang telah mendapat lebih 26,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tersentuh melihat anak muda seperti Naufal menggalas tanggungjawab dengan menjadi wali di majlis pernikahan kakaknya itu.
Pada masa sama, ramai juga yang menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan.
Beragama Islam Antara Syarat Sah Jadi Wali
Menurut laman Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang, syarat sah menjadi wali adalah:
- Islam
- Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun)
- Berakal – orang gila dan mabuk tidak sah jadi wali
- Lelaki
- Adil
- Merdeka
Bagaimana Pula Jika Pengantin Perempuan Adalah Seorang Mualaf?
Menurut penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu hantaran di Facebook, sekiranya bapa pengantin masih belum beragama Islam, tanggungjawab menjadi wali berpindah kepada datuk atau saudara atau anak saudara atau bapa saudara atau sepupunya sebelah bapa yang sudah beragama Islam.
Namun sekiranya kesemua individu itu belum beragama Islam, maka pengantin perempuan boleh menggunakan khidmat wali hakim.
Adik-Beradik Seibu Sebapa Atau Sebapa Sahaja Yang Boleh Jadi Wali
Dalam pada itu, menurut seorang Peguam Syarie dalam satu balasan komen di Threads, adik-beradik seibu, susuan dan tiri tidak boleh menjadi wali.
Jelasnya, individu yang dibenarkan adalah adik-beradik seibu sebapa atau sebapa sahaja.
View on Threads
Siapa Yang Layak Jadi Wali Ikut Susunan?
Malah, dia turut berkongsi susunan individu yang layak menjadi wali berdasarkan dalam senarai yang terkandung dalam Borang Tertib Susunan Wali keluaran Jabatan Agama Islam Wilayah.
Susunan tertib wali adalah seperti:
- Bapa kandung
- Datuk (Bapa kepada bapa) dan ke atas
- Saudara lelaki seibu sebapa (abang / adik kandung)
- Saudara lelaki sebapa
- Anak saudara lelaki seibu sebapa (anak saudara)
- Anak lelaki saudara lelaki sebapa (anak saudara)
- Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa ke bawah
- Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa ke bawah
- Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
- Bapa saudara sebelah bapa sebapa
- Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu)
- Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu)
- Anak sepupu seibu sebapa ke bawah
- Anak sepupu sebapa ke bawah
- Bapa saudara bapa sebelah bapa seibu sebapa (datuk saudara)
- Bapa saudara bapa sebelah bapa sebapa (datuk saudara)
- Anak lelaki datuk saudara seibu sebapa
- Anak lelaki datuk saudara sebapa
- Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara seibu sebapa ke bawah
- Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara sebapa ke bawah
- Bapa saudara datuk seibu sebapa (moyang saudara)
- Bapa saudara datuk sebapa (moyang saudara)
- Anak lelaki moyang saudara seibu sebapa
- Anak lelaki moyang saudara sebapa
- Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara seibu sebapa
- Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara sebapa
- Wali Hakim/Wali Raja/Wali Sultan
View on Threads
Ini antara komen pengguna Threads:
“Alhamdulillah Adik Ni Hebat, Bukan Senang Nak Jadi Wali Jika Tak Cukup Syarat”
![Image from: Remaja 14 Tahun Galas Tanggungjawab Arwah Bapa, Jadi Wali Nikahkan Kakak Di Hari Bahagia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/remaja-14-tahun-jadi-wali_3.jpg)
“Kita Yang Sebak Tengok”
![Image from: Remaja 14 Tahun Galas Tanggungjawab Arwah Bapa, Jadi Wali Nikahkan Kakak Di Hari Bahagia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/remaja-14-tahun-jadi-wali_2.jpg)
“Walau Adik Senyum, Acik Sebak Dik”
![Image from: Remaja 14 Tahun Galas Tanggungjawab Arwah Bapa, Jadi Wali Nikahkan Kakak Di Hari Bahagia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/remaja-14-tahun-jadi-wali_1.jpg)
Baca Artikel Berkaitan:
Orang Yang Berjudi Termasuk Secara Online Tidak Boleh Jadi Wali Nikah

![Remaja 14 Tahun Galas Tanggungjawab Arwah Bapa, Jadi Wali Nikahkan Kakak Di Hari Bahagia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/remaja-14-tahun-jadi-wali_3.jpg?t=1793721375)


