
TUMPAT – Keluarga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis lalu tidak mahu berjumpa dengan ibu bapa kepada suami arwah.
Kakak kepada arwah, Marlina, 46, berkata, keluarganya turut melarang ibu bapa dan keluarga suami arwah Norhazwani untuk hadir menziarahi jenazah dan upacara pengebumian awal pagi tadi.
Katanya, seluruh ahli keluarganya tidak boleh menerima perbuatan yang dilakukan oleh suspek yang merupakan adik iparnya sehingga menyebabkan kematian Allahyarham Norhazwani.
“Sehingga malam tadi, tiada seorang pun keluarga suami arwah datang bertanya khabar Nordianisa Sofia Mohd. Khairuddin, 6, dan adiknya, Noralisa Amara, 5, yang merupakan anak kepada adik saya selepas dia meninggal dunia.
“Memang kami tidak boleh terima jika ibu bapa atau keluarga mentua arwah datang. Saya sendiri tidak benarkan mereka hadir untuk menziarahi jenazah dan upacara pengebumian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banjir Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
Marlina memberitahu, dia masih terkejut dengan kehilangan Allahyarham Norhazwani yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik angkara perbuatan suaminya.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan adiknya pada Selasa lalu menerusi telefon iaitu dua hari sebelum Allahyarham Norhazwani mati dibunuh.
“Tergamak sungguh dia membunuh isteri sendiri. Saya terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan arwah ketika dia pulang ke kampung pada 5 Oktober lalu.
“Apabila saya hubunginya untuk mengajak makan beberapa hari lalu, arwah memaklumkan dia sudah pulang ke Nilai. Dia ada memberitahu akan pulang lagi ke kampung pada Disember ini,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Norhazwani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjong, Pengkalan Kubor, di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kami tak mahu jumpa keluarga suami arwah adik’ appeared first on Kosmo Online.






