Remaja 14 tahun hilang sejak tiga hari lalu

8 Nov 2024 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Syawal dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Melayu di Kluang, pada Selasa lalu.

KLUANG - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Melayu di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan berhubung kehilangan Muhammad Syawal Abdullah diterima pada Khamis.

"Mangsa dilihat kali terakhir di rumahnya pada jam 7.30 pagi, Selasa. Keluarga sudah mencari mangsa di rumah saudara-mara, jiran-jiran dan rakan namun masih tidak ditemui.

"Remaja itu berketinggian 150 sentimeter, berkulit cerah dan susuk tubuh kecil namun tidak diketahui warna pakaian ketika keluar dari rumah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Susulan itu, Bahrin merayu bantuan orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai berdekatan sekiranya mempunyai maklumat atau mengetahui kedudukan remaja berkenaan.