Remaja 16 tahun ditahan bawa buku lima di Tawau

27 Sep 2025 • 4:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Polis menahan seorang remaja lelaki warga asing selepas dikesan membawa buku lima ketika berjalan-jalan di kawasan bandar di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 16 tahun itu ditahan dalam rondaan cegah jenayah kira-kira jam 1.05 tengah hari selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut menemukan senjata berkenaan,” katanya di sini, Jumaat.

Senjata tersebut ditemui di dalam beg hitam yang dibawa remaja itu sebelum dia ditahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan.

Dalam kes berasingan, Jasmin berkata polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 50 tahun di Kampung Brantian Baru Batu 7, Kalabakan, pada Selasa kira-kira jam 7.49 malam.

“Suspek ditahan berkaitan kes menceroboh kebun milik seorang pekebun tempatan yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari pada hari sama.

“Pengadu menyedari kehadiran lelaki itu di kebun milik ayahnya selepas melihat suspek berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Menurutnya, pengadu cuba menahan suspek namun lelaki itu melarikan diri sebelum terjatuh dan berlaku pergelutan antara mereka.

Beliau berkata, suspek mengalami luka di pipi kiri, bahu kiri dan dada, menyebabkan pengadu membawanya untuk rawatan perubatan.

“Suspek kemudian diserahkan kepada polis kira-kira jam 8 malam di Balai Polis Kalabakan dan hasil semakan mendapati dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan jenayah) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini).