
SHAH ALAM, 23 NOV: Tiga remaja ditahan selepas kereta Perodua Kancil merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Piasau, Miri malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian jam 11 malam itu berlaku ketika penguat kuasa menjalankan sekatan jalan raya sebelum kereta terbabit dipercayai dipandu laju dan melawan arus menuju ke Jalan Piasau Camp.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan dipercayai gagal mematuhi arahan berhenti sebelum melanggar anggota JPJ yang sedang membantu operasi penguatkuasaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam pada mata kanan serta tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Miri.
“Keadaan anggota terbabit dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Mohd Farhan berkata polis kemudian berjaya mengesan dan menahan kenderaan terbabit menerusi sekatan di Jalan Piasau Camp.
Katanya, pemandu berusia 17 tahun ditahan bersama dua penumpang iaitu lelaki berusia 19 tahun dan perempuan berusia 18 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu dan dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
“Polis turut merampas kereta Perodua Kancil yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.
Saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mahkamah membenarkan reman empat hari terhadap ketiga-tiganya sehingga 26 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.




![[VIDEO] BMW X6 merah pecut lari ‘roadblock’ di Bukit Bintang diburu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/BMW-ROADBLOCK-1024x768.jpeg)
