Remaja 17 Tahun Terjun Jambatan Pulau Pinang, Tertekan 2 Kali Gagal Ujian Memandu

23 Dec 2023 • 5:46 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun terjun dari Jambatan Pulau Pinang selepas dipercayai kecewa susulan dua kali gagal dalam ujian memandu pada Khamis lalu.

Dia bagaimanapun ditemui selamat berhampiran kawasan pelabuhan, Penang Port Sdn Bhd, Butterworth, hari ini.

image is not available

Memetik laporan BH Online, mangsa ditemukan dalam keadaan lemah dan Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Faris Izwan Ahmad Fadzilah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 10.25 pagi.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan diberi rawatan awal sebelum di bawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tindakan selanjutnya.

“Mangsa dalam keadaan lemah dan kini sedang menerima rawatan di HSJ.
“Kes diserah kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 10.51 pagi,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

image is not available

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada jam 11.23 pagi, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya di Kilometer 2.2 menghala ke pulau sebelum bertindak terjun dari jambatan berkenaan.

Sejurus itu, mangsa dikatakan berenang sebelum tersangkut pada pokok bakau dan berlumpur di kawasan berhampiran pelabuhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Faris Izwan berkata, mangsa melambai beberapa kali ke arah orang awam yang beriadah di kawasan terbabit sepanjang tempoh dua hari.

Bagaimanapun, tiada seorang dalam kalangan mereka perasan akan lambaiannya.

“Sekitar jam 9 pagi tadi, dia cuba melambai ke arah pegawai operasi bomba pelabuhan itu, sebelum diselamatkan lelaki terbabit.
“Mangsa dikatakan tertekan kerana tidak lulus ujian memandu sebanyak dua kali dan bimbang dimarahi ibu saudara yang menjaganya.
“Dia kemudian menunggang motosikal ibu saudaranya sebelum berhenti di atas jambatan lalu terjun ke laut,” katanya.

Sumber: BH Online ( Zuhainy Zulkiffli)