
Kota Kinabalu: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dipenjara sebulan dan didenda RM5,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda kerana dengan sengaja menyebabkan keguguran kandungan.
Remaja berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 1.25 tengah hari, 15 Mei lalu di sebuah hospital wanita dan kanak-kanak di Likas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika mengemukakan fakta kes, mahkamah dimaklumkan bahawa seorang doktor di hospital terbabit membuat laporan selepas menerima seorang pesakit wanita yang hamil 15 minggu lima hari dan mengalami pendarahan selepas mengambil 14 biji pil.
Remaja itu menelan 11 biji pil manakala tiga lagi dimasukkan ke dalam kemaluannya. Dia mengaku mengambil pil berkenaan kira-kira tengah hari pada hari sama di sebuah bilik sewa.
Siasatan mendapati remaja perempuan itu hamil hasil hubungan seksual dengan teman lelakinya.
Mahkamah diberitahu bahawa kedua-duanya bersetuju untuk menamatkan kehamilan itu kerana belum berkahwin dan berasa tidak bersedia untuk membesarkan anak.
Selepas mengambil pil berkenaan remaja berkenaan mengalami pendarahan sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.
Ketika mengemukakan hujah pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony berkata kes itu melibatkan kepentingan awam dan memohon hukuman berbentuk pencegahan bagi menegakkan undang-undang serta mengelakkan kesalahan sama berulang.
Beliau menegaskan bahawa penamatan nyawa yang belum dilahirkan tidak boleh dibenarkan semata-mata berdasarkan kelakuan baik tertuduh, sambil menambah bahawa keseriusan kesalahan dan kepentingan awam perlu diberi keutamaan.
Peguam Jagnesh Jaya mewakili wanita berkenaan.






