
Kota Kinabalu: Seorang wanita warga Indonesia didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencari pelanggan untuk pelacuran.
Titi Suriani, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana melakukan perbuatan itu kira-kira jam 9.10 malam pada 8 Oktober tahun ini di Hotel Lintas View.
Dia didakwa di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri memberitahu mahkamah bahawa polis bertindak berdasarkan maklumat daripada ejen penyamaran mengenai sebuah laman sesawang yang didakwa mempromosikan perkhidmatan pelacuran dalam talian menerusi WhatsApp.
Polis menyerbu sebuah bilik hotel pada hari yang sama dan menahan Titi. Pemeriksaan telefon bimbitnya menemukan perbualan menerusi aplikasi Line dengan seorang individu dikenali sebagai Koko, yang mengarahkannya bertemu seorang pelanggan dengan bayaran RM360.
Siasatan mendapati Titi menawarkan perkhidmatan seksual menerusi aplikasi itu dengan pelanggan membayar RM360 untuk tempoh 45 minit.
Antara barangan yang dirampas ialah sebuah telefon bimbit, kondom dan wang tunai RM400.
Semasa mitigasi, peguam Nathaniel Wong memohon hukuman ringan dengan menyatakan bahawa Titi merupakan pesalah kali pertama, menyesali perbuatannya dan mempunyai seorang nenek di Jakarta.
Beliau turut meminta mahkamah supaya tidak merujuk Titi kepada Jabatan Imigresen kerana pasport dan visanya masih sah.
Yusdi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan.
Mahkamah memerintahkan supaya telefon bimbit dan pasport dikembalikan kepada Titi manakala wang tunai yang dirampas dilupuskan.






