Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun kini berdepan dengan kecacatan seumur hidup selepas dipaksa melakukan squat sebanyak 1,000 kali oleh seorang guru sebagai hukuman.
Kejadian menyedihkan itu dilaporkan berlaku di sebuah kem musim panas di China, di mana remaja tersebut menyertai kem yang sepatutnya dipenuhi dengan aktiviti fizikal dan interaksi sosial selama tujuh hari.
Pada hari terakhir kem, ibu bapa remaja itu terkejut apabila mendapati anak mereka berjalan tempang. Selepas disoal siasat, remaja itu mendedahkan dia telah dipaksa oleh seorang guru untuk melakukan squat 1,000 kali sebagai hukuman kerana bercakap dengan pelajar lain semasa latihan.
Akibatnya, mangsa didiagnosis dengan rhabdomyolysis, satu keadaan serius di mana tisu otot pecah dan melepaskan kandungan serat otot ke dalam darah, yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
Kejadian inimencetuskan kemarahan orang ramai dan menimbulkan persoalan mengenai amalan hukuman fizikal di sekolah dan kem latihan. Ramai yang menyifatkan tindakan guru terbabit adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kejadian ini dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap guru yang terlibat. – Agensi
The post Remaja lelaki cacat seumur hidup selepas dihukum squat 1,000 kali oleh guru appeared first on The Reporter.





