Remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi pantai

31 May 2026 • 7:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi pantai
Usaha mencari mangsa yang dikhuatiri lemas sedang giat dijalankan pada Ahad.

SEPANG – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Bagan Lalang di sini pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Akhil Zamani Sanusi, 17, dipercayai lemas ketika mandi di kawasan pantai berkenaan kira-kira jam 3.10 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.18 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 31 minit kemudian.

"Komander operasi yang tiba di lokasi menerima maklumat daripada pemanggil bahawa mangsa merupakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai lemas ketika mandi di tepi pantai bersama rakan-rakannya.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.10 petang sebelum mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, operasi SAR segera dijalankan dengan kerja-kerja pencarian dilakukan menggunakan bot bagi mengesan kedudukan mangsa.

"Setakat ini mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai enam anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut.

Katanya, operasi turut menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah kenderaan utiliti Hilux dan sebuah bot.

"Perkembangan lanjut mengenai operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.