
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Bagan berdekatan Kampung Bagan Atas di Machang, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan mayat Mohd Irfan Abdullah, 13, ditemukan pada 3.30 petang oleh bapanya yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Bomba menerima laporan kejadian pada 2.52 petang dan operasi SAR kemudian melibatkan 10 anggota.
“Komander operasi telah mengarahkan SAR dijalankan menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai bersama orang awam dan bapa mangsa kemudian telah menjumpai anaknya lemas,“ menurut kenyataan itu hari ini.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. -Bernama
