Remaja lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Komtar

24 Jul 2026 • 9:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Remaja lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Komtar

GEORGE TOWN : Seorang remaja lelaki dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di atas bumbung aras enam bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 68 bangunan itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.17 petang itu, mangsa yang berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sebaik berjaya dibawa turun oleh anggota bomba ke aras bawah.

Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah @ Othman berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama sebuah jentera segera digerakkan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut.

”Operasi untuk membawa turun mangsa bagaimanapun terpaksa dilakukan dengan menggunakan sistem tali dan pengusung berikutan kedudukan mangsa berada di kawasan tinggi serta sukar diakses.

“Pada masa yang sama, pasukan bomba juga berdepan kesukaran akibat keadaan permukaan bumbung yang agak licin akibat hujan ketika itu,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, operasi yang turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 7.09 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, semakan mendapati, mangsa merupakan warga tempatan dan berasal dari kawasan Macallum.

Beliau berkata, selain mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, hampir keseluruhan anggota badan mangsa juga mengalami kecederaan yang serius akibat impak terjatuh dari tempat tinggi.

“Mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambah Abdul Rozak, siasatan awal bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM) buat masa ini.-UTUSAN

The post Remaja lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Komtar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved