
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui kita sentiasa dinasihatkan untuk berhati-hati khususnya apabila berada di tempat awam serta tidak terpedaya dengan orang yang tidak dikenali. Namun individu yang mempunyai niat tidak baik ini sentiasa mempunyai teknik licik untuk memperdayakan mangsanya.
Semalam (12 Mei) seorang remaja lelaki berdepan dengan detik cemas apabila mendakwa dia telah dikurung, didera serta dipercayai diliwat oleh seorang individu yang tidak dikenali di sebuah kediaman di pangsapuri di Bukit Kemuning, Shah Alam.
Remaja diperdaya lelaki tak dikenali, awalnya ajak berbual & tawar pakej internet
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol polis menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 12 tengah hari, 12 Mei.
Katanya menerusi siasatan awal dilakukan mendapati, lelaki tersebut memperdayakan remaja berusia 14 tahun dengan mengajaknya berbual dan menawarkan pakej internet telefon bimbit.
Remaja dikurung dalam rumah, kaki dan tangan diikat serta disyaki diliwat lelaki tak dikenali
Namun lelaki tersebut meletakkan syarat di mana remaja berkenaan perlu membantunya mengangkat barang di dalam rumah suspek.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dikesan berjalan bersama suspek sekitar jam 8.05 pagi
“Mangsa kemudiannya diikat kaki dan tangan sebelum disyaki diliwat oleh suspek.
“Semasa dikurung dan ditinggalkan berseorangan dalam rumah tersebut, mangsa berjaya membuka ikatan dan menjerit meminta bantuan melalui tingkap bilik rumah sebelum diselamatkan oleh jiran berhampiran yang seterusnya menghubungi pihak polis,” ujarnya, dipetik Harian Metro.
Dipercayai dikurung 3 jam sebelum dibantu jiran berdekatan
Jelas beliau lagi, remaja lelaki itu dipercayai telah dikurung dalam rumah berkenaan sekitar tiga jam sebelum berjaya diselamatkan oleh jiran berhampiran.
“Suspek kejadian itu sudah dikenalpasti dan usaha mengesan sedang giat dijalankan.”
Kes disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di 017 289 2628.






