Jatuh dari tempat tinggi punca kematian penuntut IPT ditemui dalam longkang - Polis

15 Mar 2026 • 9:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung kematian seorang penuntut IPT di dalam longkang berhampiran rumahnya di Ipoh.

IPOH – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 19 tahun yang ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah longkang berhampiran padang di Jalan Menglembu Impiana 12, Taman Menglembu Impiana Adril di sini pada Ahad dipercayai jatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan lelaki tempatan itu kira-kira jam 11.45 pagi.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah di bahagian mulut.

"Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca jatuh dari tempat tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Muhammad Najib berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan remaja terbabit ditemui kira-kira 30 meter dari rumahnya selepas disedari jiran yang ketika itu mahu meletakkan kenderaan di lokasi kejadian sekitar jam 11.20 pagi.

Saksi kejadian kemudian memberitahu rakannya sebelum menghubungi pihak polis.